Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Padiberas Nasional Bhd. (Bernas) terus komited untuk meneruskan peranan sebagai gatekeeper tunggal kepada industri beras di negara ini.

Menurut satu kenyataan di sini hari ini, selepas 25 tahun penubuhannya, syarikat tersebut masih teguh menggalas tanggungjawab untuk membangunkan industri ini selain memastikan jaminan bekalan beras negara sentiasa mencukupi.

“Semenjak diswastakan pada Januari 1996, Bernas telah mengambil alih sepenuhnya tugas sosial dan komersial yang selama ini dipikul oleh Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) dengan kerajaan kekal mengawal hal-hal yang melibatkan polisi dan penguatkuasaan undang-undang.

“Sejajar dengan Perjanjian Penswastaan yang telah ditandatangani, Bernas terus melestarikan tanggungjawabnya kepada rakyat dalam mengawasi perkembangan industri.”

“Penswastaan Bernas dilihat dapat membantu serta mengurangkan perbelanjaan kerajaan dalam sektor penanaman padi dan pada masa yang sama sebagai jalan terbaik bagi meningkatkan tahap kecekapan industri ini dari sudut komersial,” ujarnya.

Tambahnya, ia akan terus melaksanakan tugas-tugas di peringkat pasca tuaian untuk menjaga kepentingan petani dan bekerjasama dengan agensi-agensi lain di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani seperti Jabatan Pertanian, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) serta agensi-agensi lain bagi membantu industri mencapai aspirasi kerajaan.

Syarikat yang bertanggungjawab sektor pengimportan beras itu juga turut diberi mandat untuk menjalankan tugas-tugas sosial dalam menjaga kebajikan para petani.- MalaysiaGazette