Datuk Seri Razali Mohd. Sham (kiri) bersama Ramzi Alkutbi.

SHAH ALAM – Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (PAPUH) menasihati umat Islam agar berhati-hati dengan tawaran upah badal haji yang meragukan.

Presidennya, Datuk Seri Razali Mohd Sham berkata, tawaran caj perkhidmatan sehingga serendah RM1,200 hingga RM,2500 ketika ini boleh dipersoalkan kesahihannya.

Ini kerana jelas beliau, kos bagi permit mengerjakan haji bagi mereka bermastatutin di Arab Saudi sahaja sudah mencecah SAR3,500 atau RM3,700.

“Dengan adanya permit itu, bakal jemaah yang mengerjakan badal haji boleh menunaikan rukun Islam kelima tanpa ragu-ragu dan tidak bimbang ditangkap pihak berkuasa di sana.

“Jadi caj perkhidmatan badal haji yang relevan berharga RM10,000 meliputi upah-upah lain seperti tawaf.

“Justeru PAPUH ingin menyarankan pada mereka yang ingin mengupah badal haji perlu melalui proses akad pada jemaah yang akan mengerjakan badal haji,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Mesyuarat Agung Tahun PAPUH Ke-4 yang dihadiri 240 ahli di sini semalam.

Pada majlis itu, satu Memorandum Persefahaman (MoU) ditandatangani melibatkan lima agensi umrah di bawah PAPUH dengan syarikat penyedia visa yang berpengkalan di Mekah iaitu Marmara Group diwakili Pengurus Besarnya, Ramzi Alkutbi.

Badal haji adalah ibadah yang mewakilkan kepada waris atau orang lain bagi me­laksanakan ibadah haji ke atas dirinya disebabkan uzur seperti sakit yang tiada harapan sembuh atau terlalu tua ataupun telah meninggal dunia, sedang­kan dia berkemampuan tetapi tidak sempat menunaikan ibadah tersebut ketika masih hidup.

Mengulas lanjut, Razali turut menggesa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengambil berat tentang isu badal haji yang menawarkan caj perkhidmatan terlalu murah.

Ujarnya, PAPUH sedia memberi kerjasama dengan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri itu dalam menangani isu sama ada badal haji telah dilaksana mengikut hukum syarak di Arab Saudi bagi mengelak penipuan.

Sementara itu, PAPUH yang telah mendapat pengiktirafan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya sejak enam bulan lalu memiliki seramai 320 ahli sejak empat tahun ditubuhkan.

Dianggarkan ketika ini, hampir 1,000 agensi umrah dan haji beroperasi di negara ini.

Sebelum ini pada Mac lalu, PAPUH mengambil inisiatif membangunkan aplikasi e-Papuh sebagai satu mekanisme membanteras penipuan jualan pakej umrah.

Melalui aplikasi tersebut, persatuan itu bukan sahaja dapat membantu ahli-ahli menjual pakej umrah mereka, malah dapat membantu orang ramai memilih pakej yang dijamin selamat.

Selain pakej umrah, ia juga mengambil inisiatif membantu syarikat pelancongan yang ditipu syarikat lain dalam urusan tiket dan visa.

Pada 2017, PAPUH antara yang lantang membantah pelaksanaan Sistem Pemantauan Manasik Bersepadu (IMAMS) sehingga berjaya dibatalkan oleh kerajaan. – MalaysiaGazette