KUALA LUMPUR – Pengacara Jihan Muse tidak mahu lagi menjelaskan kenyataan dimuatnaiknya dalam Instagram berhubung isu dirinya disapina bagi menyelesaikan kes tuntutan juara Gegar Vaganza keempat (GV 4), Aishah terhaap penaja utama program realiti berkenaan iaitu Datuk Seri Vida.
Menerusi kenyataan dikeluarkan syarikat pengurusannya, LOL Entertainment Sdn. Bhd., Jihan atau Nur Jihan Musa menyifatkan, kata-kata yang dimuat naik itu tidak lagi relevan untuk terus diperkatakan.
“Bukankah isu ini sudah selesai? Rasanya, saya tidak harus lagi memberi sebarang kenyataan membabitkan kapsyen yang ditulis dalam Instagram sebelum ini.
“Kata-kata itu sudah lama dan tidak lagi relevan untuk terus dibicarakan apabila ia sudah selesai,” tegasnya.
Jelas Jihan, andai dia terus mengulas isu terbabit, dikhuatiri akan disalah tafsir, sekali gus mengeruhkan keadaan dan menjejaskan hubungannya dengan mana-mana pihak.
Semalam, berdasarkan entri pada Instagram miliknya yang telah pun dipadam, Jihan secara berkias dia dan beberapa pihak lain telah menjadi mangsa keadaan apabila diberikan sapina bagi membantu kes tuntutan yang dikemukakan penyanyi lagu Janji Manismu itu.
Aishah dalam tuntutannya mahukan Vida atau nama sebenarnya, Hasmiza Othman membayar harga barang kemas berlian asli berjumlah RM80,000. – MalaysiaGazette
















