Lim Guan Eng
Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR- Kementerian Kewangan meluluskan lanjutan tempoh pengurusan skim pembiayaan Tabung Projek Usahawan Bumiputera-i (TPUB-i) kepada Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) selama tiga tahun sehingga 30 Jun 2022.

TPUB-i ialah sebuah skim pembiayaan kontrak yang didanai Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menyediakan pembiayaan modal kerja kepada usahawan bumiputera yang dianugerahkan kontrak atau projek daripada agensi-agensi kerajaan, badan-badan berkanun dan syarikat-syarikat bereputasi tinggi.

Di bawah skim itu, CGC telah diberi peruntukan sebanyak RM300 juta bagi membantu usahawan bumiputera yang menghadapi kesulitan dalam memperoleh akses kepada pembiayaan kewangan daripada institusi-institusi kewangan.

Skim itu dibuka kepada semua sektor ekonomi termasuk pembinaan dan bekalan, pembuatan dan perkhidmatan.

Ia menawarkan kadar keuntungan sehingga lima peratus setahun kepada pemohon kali pertama untuk pembiayaan sehingga RM3 juta.

Bagi pembiayaan berikutnya, skim itu menawarkan pembiayaan sehingga RM 5 juta pada kadar yang kompetitif.

“Langkah ini selaras dengan komitmen kerajaan untuk memastikan pertumbuhan ekonomi negara turut dapat mewujudkan peluang yang membolehkan usahawan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berkembang dengan sihat,” kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, sejak penubuhan skim tersebut pada Julai 2009, CGC telah meluluskan dan mengagihkan jumlah pembiayaan sebanyak RM1.58 bilion kepada lebih daripada 1,900 usahawan Bumiputera.

Pada tahun 2018, CGC telah mencatat pembiayaan tertinggi dalam setahun iaitu sebanyak RM330 juta.

Usahawan Bumiputera yang berminat untuk memohon pembiayaan skim pembiayaan kontrak TPUB-i ini digalakkan untuk memohon melalui www.imsme.com.my. atau melawat cawangan CGC terdekat.-MalaysiaGazette