Ahli Parlimen Port Dickson yang juga Penaung Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan Pidato Perdana pada Majlis Pelancaran Universiti Malaya Endowment Fund (UMEF) di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 06 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Pelawaan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad terhadap enam parti Melayu termasuk UMNO untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akan dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Presiden Pakata Harapan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelawaan Pengerusi PPBM kitu akan diangkat dalam mesyuarat yang akan bersidang Isnin ini untuk dibuka kepada perbincangan mendalam sesama pemimpin-pemimpin tertinggi parti gabungan PH itu.

“Kita ada mesyuarat Majlis Presiden dan tentu ruang terbaik untuk kita bincang termasuk cadangan terbaharu PM.

“Isnin 8 haribulan mesyuarat ini, mesyuarat biasa bulanan Majlis Presiden.

“Dan perkara ini tentu digunakan (Tun M) untuk beri penjelasan,” katanya secara ringkas ketika ditanya pemberita selepas Majlis Pelancaran Universiti Malaya Endowment Fund (UMEF) di Universiti Malaya malam tadi.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai kenyataan Tun Dr. Mahathir semalam yang mempelawa semua parti-parti politik Melayu termasuk UMNO menyertai parti memerintah itu.

Beliau mengeluarkan kenyataan demikian di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PPBM di Johor semalam.

Kenyataan itu mengundang pelbagai reaksi khususnya DAP apabila Lim Guang Eng selaku Setiausaha Agung meminta PPBM konsisten dengan keputusannya sebelum ini mengenai pengambilan ahli daripada mana mana parti lain.

Malah katanya DAP akan berpegang kepada konsensus dalam majlis Presiden PH bahawa mana mana pemimpin yang didapati berasuah tidak akan diterima masuk.

Tetapi Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang juga Pengerusi Majlis Penasihat PKR berkata, UMNO tidak sama dengan PPBM kerana asas penubuhannya dan semangatnya berlainan.

UMNO selaku pembangkang juga memberi reaksi bercampur-campur apabila bekas Ketua Pemuda parti itu, Khairy Jamaluddin mengalu-alukan pelawaan Tun M dan menyifatkan jemputan negarawan itu perlu dilihat dalam perspektif positif.- MalaysiaGazette