KANGAR _ Seorang duda yang merupakan suspek terakhir disyaki terlibat dalam kes membakar kenderaan rasmi Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin diberkas awal pagi ini.

Ketua Polis Perlis SAC Noor Mushar Mohd berkata, suspek diberkas oleh pasukan polis Perlis dengan kerjasama polis Kedah di sebuah rumah di Kampung Sekolah, Merbau Pulas, Kuala Ketil, Kedah kira-kira pukul 4 pagi ini.

Katanya, suspek berusia 48 tahun dan tidak mempunyai pekerjaan tetap, direman empat hari di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan, bermula hari ini.

“Dalam siasatan awal polis duda itu mengaku membakar kereta Mufti Perlis bersama seorang rakannya pada Mac lepas. Ujian air kencing yang dibuat mendapati beliau positif dadah jenis methamphetamine.

Oleh kerana kes itu berlaku di Perlis, suspek dibawa balik ke Perlis untuk tindakan lanjut” kata Noor Mushar dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, polis turut merampas satu unit telefon bimbit berserta dua kad sim dan satu kad memori daripada lelaki itu yang turut dikehendaki pihak berkuasa kerana terlibat dalam beberapa kes jenayah dan pernah dihukum oleh mahkamah.

Kereta Honda Accord milik Kerajaan Negeri Perlis yang digunakan Mohd Asri dibakar di bahagian enjin manakala cermin depan dan belakang kenderaan itu dipecahkan oleh beberapa lelaki di rumah rasmi mufti itu di Jalan Persiaran Wawasan, Seriab, di sini kira-kira pukul 5.45 pagi 22 Mei lepas.

Keesokannya (23 Mei) polis memberkas seorang peniaga pasar malam, Mohd Azimar Abd Razak, 36, dan dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kangar pada 24 Mei lepas atas pertuduhan membakar kenderaan itu tetapi beliau mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Mohd Azimar didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan (KK) dan dibaca bersama Seksyen 34 KK yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Empat lagi suspek kes itu telah ditangkap tetapi kemudian dibebaskan dengan jaminan polis. – MalaysiaGazette