Dr Hasmiza Othman

IPOH – Jutawan kosmetik, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman hari ini memohon maaf secara terbuka kepada juara Gegar Vaganza musim keempat (GV4), Aishah berhubung kontroversi hadiah berlian palsu yang tercetus sebelum ini.

Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida berkata beliau tidak mahu lagi memanjangkan isu tersebut selepas kontroversi yang berlarutan lebih setahun lalu telah diselesaikan menerusi mediasi di Kompleks Mahkamah Sesyen Sivil 11 Kuala Lumpur, Isnin lepas.

“Saya akui telah terkhilaf dalam mengumumkan harga barang kemas yang mana harga tersebut merupakan harga belian ketika saya membeli satu ketika dahulu.

“Saya membuat permohonan maaf ini selepas mengambil kira segala faktor dan kesan-kesan yang mana secara langsung melibatkan beberapa pihak yang terpalit sama dalam kes ini,” katanya pada sidang media khas di kediamannya di Meru Raya di sini, hari ini.

Persengketaan antara penyanyi Aishah atau nama penuhnya, Wan Aishah Wan Ariffin, 54, tercetus apabila penyanyi ternama itu membuat pendedahan mengenai hadiah rantai bernilai RM80,000 yang ditaja usahawan kosmetik itu dalam program realiti televisyen adalah palsu.

Penyanyi lagu Janji Manismu itu mengetahui bahawa barangan kemas yang diterima sebagai juara program tersebut bukan tulen selepas mengadakan pemeriksaan di kedai emas.

Rentetan daripada itu, sengketa antara mereka berpanjangan sehinggalah Aishah membuat keputusan membawa kes berkenaan ke mahkamah.

Sementara itu, anak perempuan Vida, Nur Edlynn Zamilleen Muhammad Amin, 14, atau lebih dikenali sebagai Cik B membuat kejutan pada sidang media tersebut dengan menyerahkan wang tunai berjumlah RM100,000 kepada ibunya bagi menyelesaikan masalah yang berlaku.

Nur Edlynn Zamilleen ketika ditemui media berkata wang itu merupakan hasil jualan produk keluarannya iaitu Salmon Skin yang diperolehinya. – MalaysiaGazette