KANGAR – Polis menahan seorang lelaki dan merampas pelbagai jenis senjata api tiruan yang diseludup masuk dari negara jiran dalam serbuan di sebuah rumah di Felcra Lubuk Sireh, Kaki Bukit di Pandang Besar, pada Rabu (3 Julai).

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Supt Muhamad Halim Yatim berkata, senjata api tiruan yang dirampas itu terdiri daripada 17 laras raifal dan 213 pucuk pistol pelbagai jenis serta komponen-komponennya bernilai kira-kira RM70,000.

“Rumah yang diserbu itu dipercayai dijadikan tempat simpanan senjata api tiruan itu,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Ketika serbuan pada 8.15 malam Rabu itu, isteri dan anak perempuan lelaki terbabit turut berada di rumah itu.Siasatan awal polis mendapati lelaki berusia 29 tahun itu menggunakan ‘runner’ untuk menyeludup senjata api tiruan dan menjualnya secara dalam talian dengan harga antara RM100 dan RM2,000 seunit mengikut jenis dan dihantar kepada pelanggan melalui perkhidmatan kurier, katanya.

Muhamad Halim berkata, lelaki yang pernah ditangkap dan dikompaun oleh Kastam pada 2016 kerana membawa masuk barang larangan itu, dipercayai menjalankan aktiviti haram itu sejak awal 2016.

“Polis kini menjejaki seorang tauke dan individu lain yang dipercayai terlibat dalam urusan jual beli senjata api tiruan yang mungkin digunakan untuk tujuan jenayah,” katanya.- BERNAMA