Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap kepada media pada Majlis Penutup TVET Conference 2019 di Hotel Marriot Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 09 JULAI 2019

PUTRAJAYA – Cadangan Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) membabitkan pengambilalihan kesemua kepentingan ekuiti kumpulan dalam empat syarikat tol di negara ini masih menemui jalan buntu.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) masih belum membuat sebarang  keputusan mengenai perkara itu.

“Belum buat apa-apa keputusan,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri sesi dialog Perdana Menteri bersama Ketua-ketua Eksekutif Industri sempena Persidangan TVET, hari ini.

Hadir sama Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran dan timbalannya, Datuk Mahfuz Omar.

Sebelum ini, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, kerajaan PH bercadang mengambil alih empat lebuh raya utama, membabitkan nilai RM6.2 bilion.

Ia sebagai langkah pertama untuk mengurangkan beban pengguna lebuh raya dan menzahirkan janji manifesto PH.

Empat lebuh raya itu ialah Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (LITRAK) pada nilai RM2.47 bilion, Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn Bhd (SPRINT) (RM1.984 bilion), Lebuh Raya Shah Alam Sdn Bhd (KESAS) (RM1.377 bilion) serta Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd (SMART) (RM369 juta).

Tawaran itu telah diserahkan kepada pemegang kepentingan konsesi tol pada 21 Jun 2019.

Setakat ini semua pemegang kepentingan sudah bersetuju untuk pengambilalihan tersebut.

Namun, sebarang keputusan masih tertakluk kepada kelulusan muktamad Kabinet. – MalaysiaGazette