Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bercakap kepada media pada Majlis Konsultasi Belanjawan 2020 di Kementerian Kewangan, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 27 JUN 2019

KUALA LUMPUR – Lim Guang Eng tidak menolak kemungkinan memansuhkan sepenuhnya kutipan tol atau caj kesesakan empat konsesi lebuh raya yang bakal diambil alih kerajaan apabila tempoh tamat tempohnya nanti.

Menteri Kewangan itu juga berkata, tempoh konsesi tol SMART, SPRINT, KESAS dan Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) berkenaan juga tidak akan dinaikkan atau dilanjutkan apabila tamat sepenuhnya nanti.

“Tidak ada tempoh konsesi yang akan dinaikkan, sebaliknya akan kekal pada kadar sedia ada.Cuma selepas tamat tempoh itu nanti, sama ada  (tol) akan percuma itupun melihat kepada kedudukan kewangan (kerajaan).

“Kalau ikutkan saya, saya lebih suka percuma, kalau tidak pun hanya perlu membayar kos operasi dan penyelenggaraan sahaja apabila dimansuhkan nanti.

“Kos operasi dan penyelenggaraan itu tidaklah banyak, sangat rendah kadarnya,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Namun Ahli Parlimen DAP-PH Bagan itu berpendirian tidak mahu memberi harapan palsu kepada rakyat.

Ditanya sampai bila caj kesesakan itu dikenakan terhadap pengguna, Guan Eng berkata, caj kesesakan akan dikenakan di sehingga tempoh konsesi tamat sepenuhnya, sekaligus menafikan dakwaan konsesi akan dilanjutkan tanpa menaikkan tol.

Secara prinsipnya kata beliau, apabila tempoh keempat-empat konsesi itu tamat, ia tidak akan dilanjutkan lagi dan kadar tol juga turun mendadak  serta ditampung dengan kos operasi dan penyelenggaran terendah.

“Kita tengok keadaan juga kalau kerajaan mampu, jika waktu itu kita boleh kata tiada akan ada tol sebab hanya melibatkan pembaikan dan penyelenggaraan sangat minimum kosnya berbanding pembiayaan hutang dan pembinaan

“Harap jika ketika itu kita masih masih(memerintah), kami rasa kedudukan kewangan akan bertambah baik dan kita harus memansuhkan tol kemudian menanggung kos operasi dan penyelenggaraan kadar rendah sahaja.

“Jika diluluskan Kabinet, maka tahun depan mulai Januari semua pengguna empat lebuh raya nikmati kadar lebih rendah, iaitu untuk waktu puncak, kadar tol sekarang tidak akan naik sampai tempoh konsesi tamat, diluar puncak turun 30%, dan waktu bukan puncak adalah percuma,” ujarnya.

Pada masa yang sama katanya, ia juga memberi faedah kerana kutipan caj kesesakan yang dikenakan mencukupi untuk menampung penerbitan bon atau pembayaran hutang sebanyak RM6.2 bilion, sekali gus kerajaan tidak perlu bayar kos pampasan kerana kenaikan tol hendak dibekukan.

“Untuk empat tol berkenaan pampasan antara RM5.3 bilion hingga RM6.5 bilion dan kerajaan dan juga pengguna jimat RM187 juta setahun dan RM2 bilion untuk tempoh konsesi antara 9 hingga 23 tahun.

“Ini bermakna kita dan pengguna jimat sekurang-kurangnya RM7.3 bilion, dan lagi penting kerajaan tak perlu keluar wang,” tegasnya lagi.

Guan juga membidas kenyataan Ahli Parlimen MCA Air Hitam Datyuk Seri Wee Ka Siong yang mendakwa kerajaan bertindak mengambil alih konsesi yang tidak membawa keuntungan.

“Itu konsesi mana ada rugi punya, kalau mereka (konsesi) rugi takkan buat tol dan jaminan pun telah diberikan.. lagipun yang beli bon adalah semuanya syarikat gergasi jadi tidak akan rugi di akhir tempoh akan memberi keuntungan.

“Lagipun apabila mereka (konsesi) ambil hutang dia akan bayar faedah dan akhirnya akan raih keuntungan juga jika mengambil kira tempoh konsesi…jika tak dia tidak akan buat lebuh raya, takde pemiutang yang akan pinjam wang.

“Jadi jangan ingat mereka bodoh macam sesetengah keputusan kerajaan dulu (BN),” bidasnya.

Guan Eng mendakwa kerajaan lama tidak boleh melaksanakan konsep berkenaan kerana mengutamakan unsur keuntungan yang membolehkan syarikat swasta melabur.

“Tetapi kerajaan PH sanggup melaksanakan formula itu demi rakyat tanpa mengharapkan keuntungan untuk diri sendiri dengan mengurangkan kadar tol menerusi caj kesesakan,” katanya lagi.- MalaysiaGazette