Paul Pogba (kanan) dan Jesse Lingard.

PERTH, AUSTRALIA – Bintang Manchester United, Paul Pogba terus mencipta kontroversi selepas didapati ‘bergaduh’ dengan rakan sepasukannya Jesse Lingard ketika jelajah pra-musim kelab itu di Australia.

Menerusi rakaman video yang dipaparkan di Twitter rasmi pasukan itu, Pogba jelas bengang dengan Lingard dan berpaling ke arah pemain England itu sebelum pertahanan, Victor Lindelof datang menenangkan situasi berkenaan.

Lingard yang cuba mengelak insiden menjadi lebih serius telah memeluk Pogba daripada belakang.

Skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer tiba di Australia, semalam selepas mengharungi perjalanan panjang 19 jam dari Manchester ke Perth.

Insiden bertelagah itu menambah lagi tekanan buat Pogba apabila masa depannya terus menjadi teka-teki selepas dikatakan ingin meninggalkan kelab berkenaan.

Pemenang Piala Dunia 2018 bersama Perancis itu ketika ini kekal sebagai sasaran utama Real Madrid di bawah kendalian Zinedine Zidane dan bekas kelabnya yang juga juara Itali, Juventus.

United terpaksa menangguhkan untuk menyenaraikan namanya bagi jelajah pra-musim sebelum ini elepas ejennya, Mino Raiola mengesahkan pembelian termahal United itu mahu meninggalkan Old Trafford.

Namun kehadiran bintang Perancis itu di Australia dianggap mengejutkan dan Solskjaer dijangka mengadakan perbincangan dengan barisan pemainnya ketika kem latihan di sini pada minggu ini termasuk isu membabitkan masa depan Pogba. – MalaysiaGazette