Sesi fotografi bersama peserta, Saiful Merican (kiri) dan Jihin Radzuan (kanan) dari Malaysia yang akan bertanding pada Kejohanan One Championship di The Grounds, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 09 JULAI 2019

KUALA LUMPUR- Atlet Muay Thai negara, Saiful Merican rasa teruja dapat kembali beraksi di gelanggang ONE Championship pada Jumaat ini.

Ini kerana anak jati Setiu, Terengganu itu berkata, dia sudah hampir dua tahun tidak dapat menyertai kejohanan itu akibat kecederaan.

“Sudah hampir dua tahun saya tidak bertarung gara-gara cedera pada pertarungan terakhir sebelum ini.

“Namun saya bersyukur kerana boleh kembali beraksi apabila diperiksa dengan doktor selepas ONE Championship menawarkan saya untuk bertarung di sini.

“Sudah pasti saya gembira lebih-lebih lagi dapat berlawan di hadapan penonton Malaysia,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini hari ini.

Ini merupakan kali pertama Saiful bertanding dalam acara bantamweight Muay Thai di pentas ONE Championship.

Dia akan menentang rakan senegara, Mohammed Jordan Boy Mahmoud yang merupakan antara pertarungan menjadi perhatian ramai peminat.

Saiful, 30 tahun,memulakan latihan insentif sejak dua bulan lalu pada bulan Ramadan.

Jelas pemilik sebuah gimnasium ini, dia turut melakukan diet pemakanan yang ketat termasuk tidak mengambil ketupat dan rendang pada Syawal lalu.

“Setiap lawan yang saya temui, tidak boleh dipandang rendah.

“Namun dengan persiapan rapi dan penjagaan makanan, saya yakin keadaan saya sangat baik ketika ini dan saya lebih dari bersedia untuk menguji kemahiran saya dan mengalahkan lawan,” katanya.

Petarung dengan gelaran The Vampire ini memberitahu dia sudah mengkaji dan mengambil kira kelemahan lawannya nanti.

“Saya sudah mengkaji perlawanannya sebelum ini.

“Apa yang pasti, perancangan sudah ada dalam minda dan begitu Jordan Boy juga mempunyai beberapa strategi,” katanya yang enggan terlalu rasa keyakinan tinggi.

Sementara itu, selain Saiful, tiga lagi atlet mempertahankan diri negara bakal beraksi pada acara ONE Championship yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil di sini.

Kejohanan tersebut akan menampilkan Ev Ting, Jihin Radzuan dan Mohammed Mahmoud. – MalaysiaGazette