Ainul Mardhiah kini semakin aktif.

KUALA LUMPUR – Hasrat ibu bapa membawa pulang Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin ke tanah air tidak kesampaian selepas bayi istimewa berusia 10 bulan itu disahkan tidak sihat.

Menerusi Instagram milik Nurul Erwani Zaidi, 24, dia memaklumkan anaknya tidak boleh dibawa pulang lagi kerana keadaan kesihatan tidak mengizinkan Ainul berada di dalam kapal terbang.

Menurutnya, Ainul sepatutnya dibenarkan pulang ke Malaysia pada 8 Julai lalu pukul 9.30 malam waktu London dan dijangka tiba ke Malaysia pada 9 Julai pukul 5.30 petang waktu Malaysia.

Jelasnya, segala persiapan telah pun dilakukan dan doktor merawat Ainul telah membuat keputusan membenarkan Ainul pulang ke Malaysia.

“Saya memohon agar semua pihak mendoakan Ainul segera sembuh dan kuat. “Sesungguhnya ALLAH lebih tahu apa yang terbaik untuk Ainul,” tulisnya.

Ainul Mardhiah yang menghidap Germ Cell Tumour sebelum ini menjalani pembedahan membuang ketumbuhan seberat 200 gram di mulut di sebuah Hospital Kanak-kanak di UK pada 10 Jun lalu.

Pembedahan membabitkan perbelanjaan mencecah RM1juta itu, berjaya direalisasi sekumpulan pakar bedah dan anestetik, diterajui Ketua Unit Craniofacial hospital berkenaan, Prof David Dunaway, selain bantuan pelatih pakar bedah Dr Nur Amalina Che Bakri. – MalaysiaGazette