Pengarah Urusan Al Haddad Group, Syed Salahuddin Syed Mohd. Mahayadin

KUALA LUMPUR – Al Haddad Group (Al Haddad) merancang untuk membuka Al Haddad Mart di seluruh negara dalam tempoh dua tahun akan datang bagi menawarkan pelbagai produk muslim.

Pengarah Urusannya, Syed Salahuddin Syed Mohd. Mahayadin berkata, cawangan sulung pasar raya mini itu akan dibuka di Kepala Batas, Pulau Pinang dalam masa terdekat ini.

Jelas beliau, rangkaian tersebut akan dikendalikan oleh syarikatnya.

Bagaimanapun katanya, cawangan selepas ini di negeri-negeri lain akan diberi peluang kepada para pengedarnya yang berminat yang memiliki kelayakan dan pengalaman.

“Ketika ini, kami dalam proses perbincangan dengan pengedar berpotensi untuk menawarkan pakej perniagaan bagi mengusahakan Al Haddad Mart di seluruh negara.

“Modal yang diperlukan hanya kira-kira RM300,000 bergantung kepada lokasi, saiz cawangan dan kos lain manakala syarikat akan membantu mereka dari segi pemasaran dan promosi,” katanya.

8J0A9276
Al Haddad Mart yang pertama akan dibuka di Kepala Batas, Pulau Pinang

Ibu pejabat Al Haddad terletak di Kedah Halal Park Fasa 2, Kawasan Perindustrian Sungai Petani, Kedah.

Syed Salahudin menambah, sebelum ini, produk keluaran kumpulan hanya ditawarkan melalui rangkaian pemasarannya yang besar dikuasai oleh 500,000 pengedar manakala 500 stokis di seluruh negara.

Menurutnya, ketika ini merupakan masa terbaik buat syarikat mempromosikan produk dan menawarkannya secara besar-besaran di pasaran terbuka termasuk di pasar raya besar.

‘Selain itu, kami turut merancang mengembangkan pasaran eksport sedia ada yang telah menembusi ke 10 buah negara termasuk pasaran di Asia Tenggara dan China,

Sementara itu, syarikat penuh milik Bumiputera itu baru-baru ini turut menubuh anak syarikat baharu, Arrayan Multitrade Sdn. Bhd. (Arrayyan) dalam usaha memberi pilihan kepada pengguna untuk mendapatkan produk muslim halal. – MalaysiaGazette