Operasi mencari dan menyelamat Dua lagi remaja yang lemas masih diteruskan melibatkan pelbagai agensi di Pantai Tanjung Lompat, Penawar, Kota Tinggi hari ini

KOTA TINGGI – Dua daripada enam remaja yang terselamat dalam tragedi lemas di Pantai Tanjung Lompat, Penawar di sini semalam masih menerima rawatan di Hospital Kota Tinggi di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Dr Muhammad Naqib Md Ghazali berkata, Mohamad Faqrul Isqandar Abdullah dan Muhammad Afiq Ruzaini Mazlan mengalami kecederaan ketika diselamatkan di kawasan berbatu di pantai berkenaan.

“Kedua-duanya yang masing-masing berusia 16 tahun mengalami kecederaan fizikal termasuk trauma. Jadi kita akan sediakan perkhidmatan sokongan bersesuaian kepada mereka termasuk daripada segi psikologi.

Mayat remaja kedua yang lemas ditemui petang tadi sebelum dibawa untuk bedah siasat ke hospital

“Bantuan sama juga akan kita berikan termasuk keluarga empat lagi mangsa yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikan ketika ditemui pemberita selepas melawat keluarga mangsa serta meninjau operasi mencari dan menyelamat (SAR) di pos kawalan di Pantai Tanjung Lompat hari ini.

Semalam portal ini melaporkan, enam remaja lemas selepas menjalankan aktiviti mandi pantai, sebelum dua daripada mereka berjaya diselamatkan orang awam, manakala empat yang lain hilang.

Dua daripada mangsa yang hilang iaitu Alif Taqiuddin Kamal Hasrul, 16, ditemukan lemas pukul 1.25 petang semalam manakala Muhammad Thaqif Rayyan Rumainoor, 16, pula ditemukan pukul 1.53 petang tadi.

Pasukan keselamatan terutama maritim meneruskan operasi SAR dengan memperluaskan kawasan pencarian hari ini

Sementara itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua lagi mangsa yang masih hilang iaitu Mohamad Haiman Fitri Supian dan Muhammad Adib Hafiy Kamal, masing-masing berusia 16 tahun masih diteruskan.

Radius pencarian pada hari ini diperluaskan ke dua batu nautika dan menerbangkan dua dron bagi mengesan tiga lagi mangsa yang berkemungkinan dihanyutkan ke pantai lain.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here