Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Perak, Mansor Yusuf bercakap kepada media selepas hadir pada rundingan bersama wakil Nelayan Pulau Pinang, Perak dan NGOS untuk menyerahkan memorandum bantahan projek penambakan Pulau Pinang kepada Perdana Menteri dan beberapa menteri lain di Bangunan Sementara Parlimen, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 11 JULAI 2019.

KUALA LUMPUR – Perlombongan atau aktiviti mengorek pasir di kawasan pantai nelayan berhampiran dari Pangkor ke Tanjung Piandang, Kerian di Perak bagi tujuan tambakan laut di selatan Pulau Pinang didakwa mengakibatkan habitat kehidupan laut akan pupus sepenuhnya.

Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Perak, Mansor Yusuf berkata, aktiviti sedemikian untuk projek tambakan laut bagi tiga pulau dengan keluasan 2, 400 ekar melibatkan 189 juta meter padu pasir dari utara Perak bakal membunuh habitat laut serta kebergantungan komuniti nelayan di Pangkor, Manjung serta Tanjung Piandang Kerian.

“Pengorekan pasir dijangkakan selama 15 tahun, bayangkan tempat habitat untuk ikan dan segala hasil laut lain akan terganggu maksimum.

“Sebelum ini ikan kembung naik harga dan kali ini mungkin pupus dan menjejaskan periuk nasi kami nelayan sekitar 9,000 keluarga di kawasan itu apabila perlombongan itu dilaksanakan nanti.

“Malahan ekosistem dan habitat ikan dan kehidupan lain akan pupus juga memandangkan Perak adalah pengeluar ikan kembung terbesar di negara ini.

“Kawasan sasaran korek pasir itu adalah berisiko besar mengancam kehidupan laut dan juga ‘periuk nasi’ nelayan selama-lamanya,” katanya ketika ditemui pemberita di Bangunan Sementara Parlimen hari ini.

Pagi tadi kira kira 300 nelayan dan wakil aktivis alam sekitar serta badan bukan kerajaan berpiket dengan mendukung poster mendesak kerajaan menghentikan segera tambakan laut di Pulau Pinang.

Kira-kira 14 wakil mereka bertemu Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub dan menyerahkan memorandum yang mengandungi laporan aduan serta seruan komuniti dan persatuan nelayan Perak dan Pulau Pinang mendesak kerajaan segera menghentikan projek tersebut.

Tambah Mansor, pihaknya yakin kerajaan akan mendengar suara mereka dan bertindak segera demi survival komuniti nelayan dan ekosistem habitat kehidupan laut.

Menurutnya, nelayan seperti mereka hanya tahu mencari rezeki di laut dan bukan seperti petani yang tahu menanam padi serta pokok getah.

“Nelayan hanya tahu pergi ke laut bertarung nyawa dengan keadaan laut yang tak menentu dan menangkap ikan yang belum tentu menjamin hasil yang banyak dan di sini dia terpaksa gambling setiap masa ke laut dan ahli keluarga tdak akan tenteram selagi tidak pulang selamat dengan hasil tangkapan yang banyak.

“Maka bila ada perlombongan pasir di kawasan tumpuan nelayan ia menghancurkan hasil nelayan selain berisiko spesis ikan pupus terus.

“Elok lebih baik hentikan projek tambakan laut terus bagi mengelak konflik antara kerajaan dan rakyat kerana bayangkan tanpa nelayan siapa yang boleh sediakan protein ikan.

“Kalau boleh makan lembu pun tengok harganya mahal sampai bila mereka mampu,. kita tak nak apabila punca hasil laut kurang dan dijual mahal, rakyat salahkan kerajaan sebab nelayan jual mahal pulak,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette