Gambar hiasan

KOTA BHARU – Seorang guru besar sebuah sekolah rendah maut manakala seorang doktor cedera dalam nahas di Kilometer 71, Jalan Kota Bharu-Gua Musang dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai Superintenden Mazlan Mamat berkata, insiden berlaku pada 6.50 pagi apabila doktor lelaki berusia 26 tahun itu, yang memandu dari arah Gua Musang menghala ke Tanah Merah, gagal mengawal kenderaan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan bertembung kereta dipandu guru besar berusia 52 tahun tersebut.

“Akibat jarak terlalu dekat sehingga berlaku perlanggaran itu, guru besar berkenaan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan, Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai manakala doktor berkenaan mengalami kecederaan luka di bahagian dada dan sedang menerima rawatan di hospital sama,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mazlan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu tampil menyalurkan maklumat ke Balai Polis Trafik Kuala Krai untuk membantu siasatan. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast