Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR –  Saham di Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini, menjejaki prestasi Wall Street semalaman yang lebih baik.

Pada 9.06 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 1.81 mata kepada 1,681.07 daripada 1,679.26 semasa ditutup pada Khamis.

Pada pembukaan, indeks meningkat 1.77 mata kepada 1,681.03.

Suasana pasaran positif dengan 179 kaunter untung mengatasi 75 kaunter rugi, manakala 191 kaunter tidak berubah, 1,403 tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 164.53 juta unit bernilai RM70.81 juta.

Public Investment Bank Bhd dalam nota berkata pelabur dalam pasaran saham AS beralih daripada saham dalam sektor utiliti dan hartanah, yang dilihat sebagai defensif, memihak kepada lebih banyak sektor kitaran seperti teknologi maklumat dan kewangan.

Indeks S&P 500 naik 0.2 peratus manakala Dow Jones Industrial Average melonjak 0.9 peratus.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Public Bank, masing-masing naik dua sen kepada RM8.97 dan RM23.02, manakala Tenaga, Petronas Chemicals dan IHH Healthcare, masing-masing tidak berubah pada RM13.72, RM8.40 dan RM5.81.

Daripada saham aktif, Cuscapi dan My E.G, masing-masing meningkat empat sen kepada 22.5 sen dan RM1.53, manakala Sapura Energy, UCrest dan Greenyield, masing-masing menambah satu sen kepada 30.5 sen, 24 sen dan 15 sen.

Indeks FBM Emas meningkat 17.93 mata kepada 11,910.82 dan Indeks FBMT 100 naik 16.4 mata kepada 11,735.81.

Indeks FBM Emas Syariah menokok 24.39 mata kepada 12,304.16, FBM 70 menambah 36.1 mata kepada 14,901.4 dan FBM Ace naik 13.02 mata kepada 4,680.07.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 15.87 mata kepada 16,779.55, Indeks Perladangan menambah 1.83 mata kepada 6,941.51 dan Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 0.24 mata kepada 161.68. – MalaysiaGazette