KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (Mara) menafikan pengurangan peruntukan penganjuran pelajaran kepada pelajar cemerlang ke luar negara.

Agensi itu berkata, kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM2 bilion bagi program pinjaman pelajaran untuk tahun 2019 sama seperti tahun-tahun sebelum ini. Peruntukan ini digunakan untuk menaja pelajar-pelajar yang mengikuti pengajian di semua peringkat dalam dan luar negara.

Setakat ini pelajar sedia ada yang ditaja oleh Mara adalah seramai 38,758 orang pelajar dan diunjurkan seramai 50,000 orang pelajar menjelang akhir tahun.

Mara tidak menetapkan sebarang kuota penghantaran pelajar ke luar negara tetapi penghantaran pelajar adalah berasaskan kepada bidang-bidang yang selari dengan keperluan guna tenaga negara.

Setakat Mei 2019 seramai 1,535 orang pelajar sedia ada di luar negara yang mengikuti program seperti Program Bakat Muda (YTP), Pelajar Cemerlang IPMA (IESP), Graduan Cemerlang (GrEP) dan Program Pembangunan Profesional (Pro-P).

“Sehingga hujung tahun ini diunjurkan seramai 1,750 orang pelajar lagi akan dihantar ke luar negara yang menjadikan jumlah keseluruhan pelajar Mara di luar negara adalah seramai 3,285 orang untuk tahun 2019 iaitu melebihi daripada jumlah pelajar pada tahun 2018,” kata agensi itu dalam kenyataan di sini.

Kenyataan itu dikeluarkan bagi mengulas dakwaan Ketua Wirawati dari Parti Putra yang menuntut Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memberi penjelasan terperinci berhubung pengurangan mendadak peruntukan dan kuota pelajar cemerlang tajaan Mara ke luar negara.

Ketua Wirawati parti itu hairan bagaimana jumlah tajaan pelajar Mara boleh dipotong sehingga melebihi daripada separuh kuota yang ditetapkan sebelum ini.

Dr. Asmah Razalli mendakwa, pada 2016 jumlah pelajar dihantar ke luar negara seramai 4,268 orang, menurun kepada 3,882 (2017) dan 3,165 (2018).

Antara faktor yang menyumbang kepada pengurangan bilangan pelajar ke luar negara berbanding 2 tahun sebelum ini ialah kenaikan yuran pengajian sekurang-kurangnya 10 peratus pada setiap tahun bagi dalam dan luar negara untuk menampung kos pengajian pelajar sedia ada.

Selain itu juga, pertukaran mata wang asing turut menyumbang kepada kenaikan kos yuran pengajian dan juga sara hidup kerana bayaran kepada pelajar dan institusi pengajian menggunakan mata wang negara tersebut.

MARA masih meneruskan pendekatan sedia ada dengan menghantar pelajar terus ke luar negara.

Walau bagaimanapun, untuk memberi peluang kepada lebih ramai pelajar mendapat pendidikan terbaik, Mara telah melaksanakan;

i. Penempatan pelajar di institusi pengajian tempatan yang menawarkan program yang setanding dengan program yang
ditawarkan oleh institusi pengajian luar negara.

ii. Penempatan pelajar di program berkembar dengan kerjasama antara universiti tempatan dan luar negara.

Di bawah pentadbiran kerajaan pada hari ini, beberapa inisiatif telah dan akan dilaksanakan dalam waktu terdekat, pertama, pemilihan pelajar untuk mendapat kemudahan pinjaman akan mengutamakan golongan pelajar dari keluarga berpendapatan rendah atau B40 sama ada bagi program dalam mahu pun luar negara.

Selain itu, Mara telah menetapkan syarat minima bagi program ke luar negara yang perlu dipenuhi oleh pelajar meliputi pencapaian akademik seperti IELTS, IB, A Level, diploma, Ijazah Sarjana Muda dan sarjana bergantung pada program yang dipohon.

Pelajar juga perlu melepasi ujian psikometrik dan mengikuti proses temuduga. Fokus turut diberikan kepada pengajian di peringkat lanjutan sama ada peringkat sarjana atau PhD profesional dan pakar dalam bidang-bidang kritikal.

Mara turut bekerjasama dengan GLC bagi melaksanakan penajaan bersama (co-sponsor) seperti Yayasan UTP, Lembaga zakat Negeri dan institusi lain bagi menaja pelajar cemerlang.

Mara akan membiayai sepenuhnya yuran pengajian manakala institusi ini menampung kos sara hidup pelajar, melalui kaedah ini akan menambahkan lagi peluang kepada lebih ramai pelajar untuk mengikuti pengajian di peringkat yang lebih tinggi. – MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/blog/2019/07/10/putra-minta-penjelasan-penurunan-peruntukan-kuota-pelajar-mara-ke-luar-negara/

https://malaysiagazette.com/blog/2019/07/10/putra-minta-penjelasan-penurunan-peruntukan-kuota-pelajar-mara-ke-luar-negara/http://https://malaysiagazette.com/blog/2019/07/10/putra-minta-penjelasan-penurunan-peruntukan-kuota-pelajar-mara-ke-luar-negara/http://