Dr. Asmah Razalli
Dr. Asmah Razalli

KUALA LUMPUR – Parti Putra mahu Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memberi penjelasan terperinci berhubung pengurangan mendadak peruntukan dan kuota pelajar cemerlang tajaan Mara ke luar negara.

Ketua Wirawati parti itu, Dr. Asmah Razalli berkata, beliau hairan bagaimana jumlah tajaan pelajar Mara boleh dipotong sehingga melebihi daripada separuh kuota yang ditetapkan sebelum ini.

Kata beliau, pada 2016 jumlah pelajar dihantar ke luar negara seramai 4,268 orang, menurun kepada 3,882 (2017) dan 3,165 (2018).

“Bagaimanapun, selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran kerajaan persekutuan, jumlah pelajar MARA dihantar ke luar negara merosot sehingga 1,535 orang.

“Ini amat menghairankan kerana jumlah penghantaran pelajar dipotong melebihi separuh kuota,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Dr. Asmah berkata, Wirawati Putra turut tidak berpuas hati sikap KPLB yang tidak memberi jawapan bertulis secara terperinci apabila Ahli Parlimen dari pembangkang, Tan Sri Noh Omar mempersoalkan isu itu di Dewan Rakyat Isnin lalu.

Ujarnya, apa berlaku sehingga begitu rendah sekali kemampuan Mara untuk menghantar anak cemerlang dan berkebolehan melanjutkan pelajaran ke luar negara mendalami kepakaran serta ilmu pendidikan antarabangsa.

“Bukan setakat bilangan pelajar dipancung sehingga melebihi separuh kuota, kadar perbelanjaan pembiayaan Mara yang dahulunya gah kini menjunam kepada RM223,517,536 juta sehingga 31 Mei lalu.

“MARA telah membelanjakan lebih RM1.5 bilion pada 2016 untuk menghantar anak cemerlang ke universiti antarabangsa berprestij sebagai timbal balas kecemerlangan dan harapan mereka membawa ilmu teknologi serta kehebatan pendidikan luar ke dalam negara.

“Namun, akhirnya ia tersungkur dengan pembiayaan pembelajaran yang begitu rendah sekadar RM223,517,536 juta,” kata beliau.

Menurutnya, pemotongan pembiayaan Mara melebihi 80 peratus adalah sesuatu yang mengejutkan dan ke mana semua pembiayaan serta segala urus tadbir kewangan dalam organisasi itu.

“Wirawati Putra berasa terkilan dengan KPLB seolah cuba merahsiakan perkara ini, sedangkan kementerian seharusnya memberi jawapan bertulis lebih terperinci mengenai alasan pemotongan pembiayaan yang terlalu tinggi.

“Rakyat maklum Mara adalah salah sebuah agensi di bawah KPLB yang amat penting dalam membangunkan modal insan anak watan terutama dalam sektor pendidikan.

“Bagaimanakah rakyat boleh menerima peruntukan dan bilangan pelajar yang digugurkan tanpa alasan kukuh dari agensi yang berpuluh tahun menjaga kebajikan Bumiputera dalam mencongak kecemerlangan pendidikan bangsa dan negara,” soalnya.

Ironinya, kata Dr. Asmah, Kementerian Kewangan boleh menyalurkan jutaan ringgit kepada pendidikan kaum yang tidak tercatat pelaksanaannya dalam klausa Perlembagaan Persekutuan negara.

Tetapi, tegasnya, KPLB seolah mahu menyekat kecemerlangan anak didik bangsa sendiri daripada menimba ilmu di luar negara.

“Kita sudah muak dengan penjelasan hutang negara. Mohon kerjasama KPLB untuk memberi penjelasan jelas, terperinci, bernas. Kami skeptikal,” katanya. – MalaysiaGazette