Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pengeluaran getah asli Malaysia pada Mei 2019 meningkat sebanyak 23.5 peratus kepada 44,164 tan metrik berbanding 35,761 tan metrik yang direkodkan pada Mei 2018.

Perbandingan bulan ke bulan menunjukkan pengeluaran getah asli meningkat 30.2 peratus daripada 33,923 tan metrik pada April 2019 dan ini merupakan peratus pertumbuhan tertinggi sejak Februari 2019.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, eksport getah asli Malaysia berjumlah 56,850 tan metrik, meningkat sebanyak 1.6 peratus berbanding 55,930 tan metrik pada April 2019.

China merupakan destinasi utama getah asli dieksport iaitu 50.5 peratus daripada jumlah eksport pada Mei 2019 diikuti Jerman (12.4%), Iran (4.9%), Amerika Syarikat (3.7%) dan Finland (3.2%).

Menurutnya, stok getah asli yang direkodkan pada Mei 2019 ialah 176,520 tan metrik, menurun 3.4 peratus daripada 182,645 tan metrik pada April 2019.

Harga purata Lateks Pekat ialah 484.30 sen sekilogram pada Mei 2019, menurun 2.3 peratus manakala harga purata Getah Mutu Malaysia 20 (G.M.M.20) meningkat 1.9 peratus kepada 625.65 sen sekilogram berbanding dengan harga purata yang direkodkan pada April 2019.

Jumlah penggunaan getah asli di peringkat domestik ialah 43,546 tan metrik, pengurangan sebanyak 1.4 peratus berbanding 44,169 tan metrik yang dilaporkan pada April 2019.

Katanya, getah asli banyak digunakan dalam industri pembuatan sarung tangan getah dengan penggunaan sebanyak 32,696 tan metrik atau 75.1 peratus daripada jumlah keseluruhan penggunaan domestik. – MalaysiaGazette