Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad bersama Ketua Pengakap Malaysia, Tan Sri Datuk Seri Paduka Dr. Shafie Mohd Salleh (kiri) beramah mesra dengan penerima sijil pengakap Malaysia WP pada Majlis Penyampaian Pingat dan Sijil Pengakap Raja Persekutuan Pengakap Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2019 di Akademi Kenegaraan, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 13 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Isu peralihan kuasa antara Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak perlu diperbesarkan kerana ia akan berlaku apabila tiba waktunya.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, apa yang penting ketika ini adalah kerajaan Pakatan Harapan (PH) memberi tumpuan utama kepada agenda penting membangunkan negara.

Beliau yang juga Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) berkata, selain memberi perkhidmatan terbaik, pemimpin PH perlu mewujudkan pentadbiran yang bersih dan bebas rasuah.

“Siapa yang jadi perdana menteri perlu mendapat majoriti ahli dewan dan tiba masa peralihan kuasa akan berlaku.

“Ia bukan isu besar kerana akan berlaku apabila semua parti komponen dalam PH bersetuju.

“Tempoh peralihan ada sebut dua tahun dan ada tiga tahun namun semuanya akan ditentukan oleh Majlis Presiden PH,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Pingat dan Sijil Pengakap Raja Persekutuan Pengakap Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Akademi Kenegaraan di sini hari ini.

Isu peralihan kuasa kembali muncul kelmarin selepas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, tiada perjanjian peralihan kuasa perlu berlaku dalam tempoh dua tahun.

Dalam wawancara bersamam Nikkei Asian Review, Mukhriz sebaliknya memberitahu, Dr Mahathir wajar diberi tempoh secukupnya untuk memulihkan masalah ekonomi negara.

Hari ini, Timbalan Presiden PKR merangkap Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pula bersetuju dengan kenyataan Mukhriz itu. – MalaysiaGazette