KUALA LUMPUR – Mayat Ketua MIC Bahagian Paya Besar, Ramesh Ganesan yang dipercayai terlibat dalam kemalagan ditemui kira-kira dua kilometer dari kenderaannya di Gebeng, malam tadi.

Pengerusi MIC Pahang, V Arumugam, mengesahkan mayat Ramesh ditemui oleh orang awam kira-kira jam 10.45 malam tadi.

Jurucakap JBPM Pahang, berkata Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan Bomba (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian pada jam 10.55 malam selepas menerima panggilan daripada orang awam.

“Kami menerima maklumat mengatakan ada kemalangan, namun, selepas anggota tiba di tempat kejadian mendapati mayat berkenaan dalam keadaan mencurigakan.

“Kejadian itu dimaklumkan kepada polis untuk siasatan lanjut,” katanya memetik laporan Berita Harian Online.

Punca kematian bagaimanapun masih disiasat oleh Bahagian Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Datuk Othman Nanyan, mengesahkan mengenai penemuan mayat terbabit dan pihaknya sedang menyiasat punca kematian mangsa sama ada disebabkan kemalangan ataupun sebaliknya.

“Kita sedang menunggu laporan bedah siasat. Sama ada kes bunuh atau kemalangan, saya akan maklum kemudian,” katanya. -MalaysiaGazette