Abdullah Sani Abdul Hamid PKR Anwar Ibrahim President
Abdullah Sani Abdul Hamid

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid hari ini menggesa Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengambil cuti daripada memegang jawatan dalam kerajaan dan parti.

Tambah beliau, ia adalah jalan terbaik buat Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu bagi memastikan tiada campur tangan dalam siasatan terhadap kes video intim yang dikaitkan dengan beliau.

“Sesiapa pun dalam siasatan mesti meletakkan dirinya dalam kategori yang disiasat, ia tidak boleh menganggu perjalanan siasatan.

“Ini salah satu jalan terbaik, walaupun presiden PKR kata teruskan, tapi bagi saya ia lebih sempurna sebab ia didakwa sedemikian rupa, dia perlu mengambil diri dia sebagai orang yang disiasat,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kapar di lobi Parlimen.

Abdullah diminta mengulas kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu timbalannya itu bercuti sekiranya video intim antara Mohamed Azmin bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz adalah tulen.

Anwar hari ini menegaskan langkah itu bergantung kepada laporan kesahihan keempat-empat video berkenaan yang dikaitkan dengan MOhamed Azmin.

“Saya berpandangan sekiranya didapati video itu sahih maka sepatutnya dia (Azmin) ambil cuti.

“Kalau video itu tak sahih, saya tak fikir Azmin patut ambil cuti. Apa yang kita dengar tidak sahih,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini. -MalaysiaGazette