Dewan Rakyat
Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Setakat 9 Julai lalu, kerajaan memperolehi sebanyak RM91.868 juta bagi Cukai Keuntungan Harta Tanah (RPGT) melalui aktiviti pelupusan hartanah untuk tempoh pegangan yang melebihi lima tahun.

Menteri Kewangan berkata, sejumlah RM60,636,373.17 telah dikutip syarikat, individu warga negara dan pemastautin tetap (RM29,143,264.95).

Manakala individu bukan warganegara dan bukan pemastautin tetap pula berjumlah RM2,088,239.40. Kesemuanya membabitkan 4,524 pelupusan.

Lim Guan Eng berkata, pada masa ini, tambahan hasil sebanyak RM91.87 juta melalui kutipan RPGT telah membantu mencapai hasrat kerajaan untuk meningkatkan hasil negara.

Namun begitu, jumlah kutipan ini pada masa hadapan turut bergantung kepada kestabilan dan prestasi pasaran hartanah negara.

Guan Eng menjawab soalan Ahli Parlimen (DAP- Ipoh Timur), Wong Kah Woh meminta menteri kewangan menyatakan jumlah RPGT yang telah dikutip untuk pelupusan hartanah melebihi 5 tahun sejak pelaksanaannya pada 1 Januari 2019 sehingga sekarang dan apakah taraf pencapaian kutipan cukai ini berbanding dengan jumlah yang disasarkan dalam Belanjawan 2019.

Pada Belanjawan 2019 kerajaan telah menaikkan kadar RPGT bagi pelupusan hartanah dan saham dalam syarikat hartanah yang dibuat dalam tahun ke-6 dan tahun seterusnya.

Bagi syarikat dan individu bukan warga negara, kadar RPGT dinaikkan daripada 5 peratus kepada 10 peratus dan individu warga negara Malaysia dan pemastautin tetap dinaikkan kepada 5 peratus berbanding 0 peratus. – MalaysiaGazette