Serpihan pesawat MH17 yang ditembak jatuh di Donetsk, Ukraine pada tahun 2014. foto RT.com

KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia akan terus mencari dalang yang bertanggungjawab menyebabkan pesawat MH17 ditembak jatuh lima tahun lalu demi keadilan kepada semua mangsa.

Dalam tragedi itu, kesemua 298 orang penumpang pesawat MH17 termasuk 43 orang warga Malaysia terkorban.

“Malaysia akan terus bekerja dengan ahli-ahli Pasukan Siasatan Bersama (JIT) dan negara lain serta masyarakat antarabangsa dalam memaklumkan perkembangan ini kepada waris terdekat dalam mencari keadilan dan akauntabiliti.

“Setiap ahli keluarga dan waris mangsa yang terjejas dalam dalam tragedi ini layak melihat keadilan,” menurut Kementerian Pengangkutan dalam kenyataan di sini.

Tambahnya, kerajaan berharap dan berdoa ahli-ahli keluarga yang kehilangan orang tersayang di dalam pesawat MH17 itu akan terus diberikan kekuatan untuk meneruskan kehidupan.

Hari ini adalah tahun kelima tragedi itu berlaku.

Pesawat MH17 ditembak jatuh berhampiran perkampungan Hrabove di timur Ukraine ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

Kebanyakan penumpang adalah warga Belanda, selain Britain, Australia dan Indonesia.

Bulan lalu, JIT mengumumkan tiga warga Rusia dan seorang warga Ukraine didakwa menembak jatuh pesawat MH17.

Kesemua suspek itu akan didakwa di atas kesalahan membunuh.

Tiga warga Rusia tersebut dikenali sebagai Igor Girkin, Sergey Dubinskiy dan Oleg Pulatov, manakala warga Ukraine itu pula ialah Leonid Karchenko. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.