Usahawan Kosmetik, Datuk Seri Vida menunjukkan barang kemas dan berlian pada sidang media mengenai pemberian barang kemas dan berlian kepada penyanyi, Aishah di One World Hotel, Bandar Utama, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 17 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Usahawan kosmetik, Datuk Seri Vida tidak menyangka citarasa tinggi Aishah memilih barangan kemas dan berlian namun dia reda dengan keputusan yang telah dibuat oleh penyanyi itu.

Vida atau nama sebenarnya, Hasmiza Othman berkata dia beralah asalkan pilihan set barangan kemas dan berlian itu dapat memuaskan hati Aishah.

Jelas Vida, dia komited mahu menyelesaikan kemelut yang melanda dengan penyanyi itu sejak setahun lalu.

“Sebagai seorang yang bertanggungjawab, saya berbesar untuk memenuhi tuntutan Aishah walaupun ia sebenarnya bukan tuntutan.

“Tetapi adalah keinginan asal saya sendiri untuk memberikan sesuatu yang menggembirakan Aishah sebagai juara Gegar Vaganza musim keempat (GV4).

“Saya telah beri satu peluang yang orang tidak tahu apabila memberi Aishah peluang untuk pilih sendiri barangan kemas dan berlian di kedai di Bangsar.

“Walaupun sebelum ini pihak saya ada menggantikan dengan barangan berlian lain tapi saya batalkan kerana barangan kemas saya dibawah nilai Aishah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas bagi menyerahkan barang kemas dan berlian di Hotel One World di Petaling Jaya di sini hari ini.

MGF17072019_PC DATUK SERI VIDA06
Usahawan Kosmetik, Datuk Seri Vida bercakap pada sidang media mengenai pemberian barang kemas dan berlian kepada penyanyi, Aishah di One World Hotel, Bandar Utama, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 17 JULAI 2019

Mengulas lanjut, Vida memberitahu, Aishah telah memilih lima barangan kemas dan berlian yang bernilai RM80,000.

Katanya, barang tersebut adalah satu bentuk berlian satu karat bernilai RM27,100 dan satu bentuk berlian 0.70 karat (RM12,920).

Barang kemas lain katanya adalah satu cincin emas kuning 18k disaluti berlian bernilai RM20,820, cincin emas putih 18k (RM11,410) dan emas putih disaluti berlian (RM7,750).

“Jumlah ke semua barangan ini adalah RM80,000 dan dibayar anak saya iaitu Cik B hasil jualan produk Salmon Skin Salted Egg,” katanya sambil memberitahu akan menyerahkan barangan kemas dan berlian selepas sidang media ini berakhirnya.

Vida telah melengkapkan semua tiga syarat yang dipersetujui melalui proses mediasi iaitu menggantikan berlian asli berharga RM80,000 serta perlu membayar kos peguam Aishah sebanyak RM7,500 yang perlu dibuat pada atau sebelum 17 Julai ini.

Pada 6 Julai, Vida memohon maaf secara terbuka kepada Aishah atau nama penuhnya Wan Aishah Wan Ariffin, 54, sebagai satu daripada tiga syarat hasil proses mediasi antara kedua-dua pihak di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sebelum ini.

Permohonan maaf itu atas representasi salah terhadap hadiah barang kemas tambahan bagi program GV4 yang dia akui terkhilaf dalam mengumumkan harga barang kemas itu yang mana ia adalah harga ketika dibeli suatu ketika dahulu.

Sementara itu, ‘persengketaan’ antara Vida dan Aishah tercetus apabila penyanyi itu membuat pendedahan mengenai hadiah rantai bernilai RM80,000 yang ditaja usahawan kosmetik tersebut adalah palsu pada September tahun lalu.

Penyanyi lagu Janji Manismu itu mengetahui barangan kemas yang diterima hasil hadiah kemenangan menjuarai progam Gegar Vaganza musim keempat itu bukan tulen selepas mengadakan pemeriksaan di kedai emas.

Rentetan daripada itu, persengketaan antara mereka berpanjangan sehinggalah Aishah membuat keputusan membawa kes itu ke mahkamah. – MalaysiaGazette