Datuk Seri Abdul Hamid Bador
Reaksi Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador kepada media ketika Lawatan dan Kunjungan Hormat Ketua Polis Negara ke Kementerian Pertahanan (MINDEF) di Jalan Padang Tembak, MINDEF, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 18 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador menegaskan, tiada campur tangan mana-mana pihak mahupun tekanan beliau dalam siasatan video seks songsang mengaitkan seorang menteri.

Beliau berkata, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bebas melakukan siasatan ke atas video intim tersebut mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) pihak berkuasa itu tanpa sebarang tekanan

“Tidak ada campur tangan daripada sesiapa pun, tidak ada tekanan khusus kepada saya, tidak ada apa-apa.

“Oleh itu, kami sangat bebas menjalankan siasatan kami sendiri mengikut Prosedur Operasi Standard, tidak ada tekanan sama sekali,” katanya kepada pemberita selepas melakukan kunjungan hormat ke Wisma Pertahanan, di sini, hari ini.

MGF18072019_LAWATAN IGP MINDEF_09
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador (kanan) bersalaman bersama Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Panglima Zulkifli Zainal Abidin ketika Lawatan dan Kunjungan Hormat Ketua Polis Negara ke Kementerian Pertahanan (MINDEF) di Jalan Padang Tembak, MINDEF, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 18 JULAI 2019

Beliau mengulas tindakan polis pada Selasa yang menahan tiga individu di sekitar Johor Bahru berhubung siasatan kes penyebaran video seks yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Media melaporkan bahawa salah seorang daripada tiga yang ditahan itu merupakan ahli politik yang mengetuai parti di sebuah negeri.

Isnin lalu, bekas Ketua Pemuda PKR (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz dan lima yang lain ditahan reman sehingga 20 Julai bagi membantu siasatan.

Keenam-enam mereka direman bagi membantu siasatan bawah Seksyen 292A Kanun Keseksaan, berkaitan pengedaran bahan lucah yang jika sabit kesalahan boleh dihukum sehingga tiga tahun penjara, denda atau kedua-duanya.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Namirah Hanum Mohamed Albaki di Mahkamah Majistret bagi siasatan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – MalaysiaGazette