Dr. Shamrahayu Abd. Aziz.

KUALA LUMPUR – Istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 30 Julai ini adalah lambang kepada maruah negara yang meletakkan institusi diraja pada tahap paling tinggi.

Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz berkata, istiadat itu yang menjadi penghormatan kepada institusi diraja turut mencerminkan kekayaan adat resam, budaya dan identiti Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaulat lagi dihormati.

“Ia (istiadat pertabalan) menunjukkan tradisi kita sebagai sebuah negara dan bagaimana kita mengangkat institusi diraja sebagai sesuatu yang sangat dekat di hati kita.

“Ia mengangkat maruah negara, khususnya bagaimana istiadat itu berlangsung dengan penuh tertib lagi teratur.

“Ini juga menunjukkan bahawa kita mempunyai istiadat tersendiri berbanding negara lain sehingga beberapa perkara kecil pun turut dipandang tinggi,” katanya semasa menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel, malam ini.

Shamrahayu berkata rakyat perlu sentiasa menanam perasaan sayang dan menjadikan institusi diraja sebagai idola, sebuah institusi yang memelihara keharmonian dan kedaulatan negara serta perpaduan rakyat.

Beliau berkata, perasaan rakyat terhadap institusi diraja adalah lambang patriotisme kerana ia sebahagian daripada ciri-ciri bangsa Malaysia, selain sistem pendidikan yang perlu terus memainkan peranan.

“Kita juga harus memperkemaskan pendidikan tidak formal dan pada masa ini, kita berdepan dengan cabaran penggunaan media sosial yang mana institusi diraja turut terkesan dengannya.

“Apabila kita dapat menanamkan perasaan jati diri, dalam generasi muda khususnya, kita boleh mengelakkan isu-isu yang timbul di media sosial,” katanya.

Sementara itu, Datuk Paduka Maharajalela Istana Negara, Azuan Effendy Zairakithnaini yang turut menjadi tetamu program itu, berkongsi lima acara sampingan sempena Istiadat Pertabalan itu.

Ia merangkumi majlis bacaan Yasin, doa selamat dan solat hajat pada 25 Julai di Masjid Negara; Majlis Santapan Diraja di Istana Negara pada 31 Julai; serta lawatan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke Hospital Rehabilitasi Cheras pada 1 Ogos.

“Pada 2 Ogos akan diadakan Khutbah Khas dan Solat Jumaat iaitu Yang di-Pertuan Agong akan berangkat ke Masjid Putra di Putrajaya. Khutbah Khas ini akan dibacakan di seluruh masjid di Wilayah Persekutuan dan di negeri-negeri di mana Baginda menjadi ketua agama.

“Sesuatu yang saya fikir sangat positif juga apabila beberapa Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja menitah berkenan supaya teks yang sama dibacakan di negeri-negeri Baginda,” katanya.

Selain itu, Azuan Effendy berkata pada 5 Ogos akan diadakan perasmian Pameran Raja Kita, yang bakal memaparkan koleksi peribadi Sultan Abdullah seperti kad pengenalan dan gambar-gambar lama Baginda. – MalaysiagGazette