Seorang bekas kerani firma guaman didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 138 pertuduhan membabitkan pecah amanah lebih RM100,000 sejak 2012 hingga 2015.
Seorang pengasuh taska yang melepaskan geram kerana diberikan banyak kerja dengan menggores kepala seorang bayi lelaki berusia setahun menggunakan pin tudung, dijatuhi hukuman denda RM12,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana mendera bayi itu.

KUALA LUMPUR – Seorang ibu tidak dapat menahan sebak apabila Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengurangkan hukuman penjara terhadapnya dari 10 hari ke lima hari kerana kesalahan mencuri lampin dan makanan untuk bayinya, awal bulan ini.

Pengurangan hukuman itu membolehkan perayu, Chong Ann Ni, 25, dibebaskan dari Penjara Kajang, Selangor, hari ini selepas hukuman penjara selama lima hari yang bermula Isnin lepas tamat.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan perayu terhadap hukuman penjara 10 hari yang dijatuhi Mahkamah Majistret pada 15 Julai lepas dan hukuman itu berkuat kuasa pada hari sama.

Perayu memfailkan rayuan bagi mengurangkan hukuman pada 16 Julai lepas.

Dalam penghakimannya, Mohamed Zaini berkata hukuman penjara 10 hari yang dijatuhi terhadap perayu yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau adalah berlebihan setelah mengambil kira keadaan perayu yang mempunyai bayi perempuan berusia 15 bulan yang masih menyusu.

“Seorang ibu (yang kesempitan hidup) pasti akan melakukan apa sahaja tanpa berfikir panjang, mahkamah mengambil kira keperluan anak yang masih menyusu badan itu,” kata hakim itu dan menambah perayu juga telah mengaku bersalah dan telahpun meringkuk dalam penjara selama lima hari.

Peguam Chan Yen Hui dan Raj Surian Pillai memohon mahkamah mengurangkan hukuman terhadap perayu dengan alasan perayu terdesak melakukan perbuatan itu kerana kesempitan hidup dan mencuri barangan hanya untuk keperluan bayinya.

Chan berkata anak guamnya yang telah insaf atas perbuatannya itu tidak bekerja dan suaminya juga telah kehilangan pekerjaan sejak Disember tahun lepas.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Isa Mohamed berkata hukuman Mahkamah Majistret tidak wajar diubah namun ia terpulang kepada budi bicara Mahkamah Tinggi.

Wanita itu didakwa mencuri pelbagai barangan termasuk lampin pakai buang dan makanan bayi bernilai RM291.39 kepunyaan Aeon.Co (M) di Pasaraya AEON, Mid Valley di sini pada 6.30 petang, 2 Jun lepas. Dia dituduh mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda.

— BERNAMA