Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) memperluaskan kemudahan Visa Ketibaan (VOA) di enam pintu masuk tambahan negara untuk pelancong asing warganegara China dan India.

Langkah itu diambil selaras dengan dasar kerajaan untuk menggalakkan kemasukan pelancong dari kedua-dua negara tersebut bersempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020) kerajaan yang menyasarkan kemasukan pelancong seramai 30 juta orang.

Dasar kerajaan untuk menggalakkan kemasukan pelancong warganegara Republik Rakyat China dan India itu bagaimanapun tidak sesekali akan mengabaikan aspek keselamatan negara, kata KDN dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, KDN telah bersetuju dengan cadangan untuk memperluaskan kemudahan VOA di enam pintu masuk tambahan.

Senarai pintu masuk tambahan yang boleh mengeluarkan VOA adalah Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, ICQS Bukit Kayu Hitam, Kedah,Lapangan Terbang Antarabangsa Miri Sarawak; ICQS Sungai Tujoh, Sarawak; Terminal Feri Labuan; dan Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz Shah (Skypark Subang).

“Kemudahan VOA ini hanya diberikan kepada pelancong warganegara Republik Rakyat China dan India yang memasuki Malaysia melalui negara ketiga iaitu Brunei,Indonesia, Singapura dan Thailand sahaja.

“Ia masih tertakluk kepada syarat melepasi tapisan kawalan imigresen dan bebas daripada ancaman keselamatan.

“Bagi merangsangkan ketibaan pelancong dan meningkatkan perbelanjaan semasa melawat Malaysia serta menggalakkan pelancong berbelanja lebih di dalam negara, kemudahan VOA telah ditambah baik lagi,” kata KDN.

Kementerian itu menambah, tempoh keberadaan pelancong China dan India di Malaysia bagi tujuan melancong dilanjutkan sehingga 15 hari berbanding 7 hari sebelum ini.

Manakala, kadar fi visa VOA dikurangkan daripada RM330.00 kepada RM200.00 tetapi dengan syarat wang tunjuk dikurangkan daripada USD1,000 kepada USD500 dan dikemukakan sama ada dalam bentuk tunai, cek kembara, kad kredit, kad debit atau wang elektronik yang diiktiraf oleh Bank Negara Malaysia.

“Tarikh pelaksanaan kemudahan VOA adalah berkuatkuasa mulai 15 Julai 2019,” jelas kenyataan itu lagi.

KDN mengalu-alukan kehadiran pelancong yang akan menyumbang kepada pendapatan dan perkembangan ekonomi negara.

Pun begitu menurut KDN, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu, ejen pelancongan atau pihakpihak yang tidak bertanggungjawab dalam menyalahgunakan kemudahan visa yang boleh menjejaskan keselamatan negara dan ketenteraman awam.

Pihak Jabatan Imigresen Malaysia dan Polis DiRaja Malaysia serta agensi-agensi penguatkuasaan lain akan sentiasa menjalankan operasi-operasi membanteras Pendatang Asing Tanpa Izin dan akan menyenarai hitamkan mereka daripada memasuki Malaysia sekiranya ditangkap dan dijatuhi hukuman.- MalaysiaGazette