Wendy Ng

KUALA LUMPUR – Atlet terjun, Wendy Ng kini boleh menarik nafas lega selepas berjaya menempah tiket ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 dalam acara 3 meter papan anjal individu wanita biarpun nasib tidak menyelebahi rakanya, Nur Dhabitah Sabri.

Kejayaan Wendy itu susulan menamatkan pusingan kelayakan di tangga ke-10 pada Kejohanan Akuatik Dunia di Gwangju, Korea Selatan semalam.

Keputusan itu sudah cukup untuk dia menempah tiket ke Tokyo selain beraksi pada final acara itu hari ini.

Wendy berdepan pelbagai dugaan dan cabaran termasuk menjalani pembedahan bahu pada Februari lalu sehingga dia terpaksa berehat panjang.

Awal tahun lalu, atlet berusia 26 tahun itu turut digantung selama lapan bulan oleh Persekutuan Akuatik Antarabangsa (FINA) selepas gagal ujian doping pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Dalam aksinya itu, Wendy mengumpul 288.60 mata selepas lima terjunan ketika China menguasai Pusat Akuatik Antarabangsa Nambu menerusi penerjun muda, Shi Tingmao yang mengumpul 359.40 mata diikuti penerjun Australia, Maddison Keeney, 348.10 mata dan Wang Han 345.80 mata.

Nur Dhabitah pula gagal melepasi pusingan kelayakan apabila menamatkan saingan di tempat ke-25 dengan 249.05 mata. – MalaysiaGazette