Rihana Oksana Gorbatenko bersama bayinya. foto IG RihanaPetra

KUALA LUMPUR – Bekas ratu cantik Rusia, Rihana Oksana Gorbatenko mendakwa masih merupakan isteri kepada Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

Rihana memberitahu, beliau tidak pernah menjejakkan kaki ke Singapura pada Jun lalu untuk mendengar lafaz cerai dijatuhkan sebaliknya berada di negara kelahirannya, Rusia bersama cahaya mata pertamanya.

“Secara peribadi saya tak pernah dengar sebarang talak dijatuhkan secara bersemuka kepada saya.

“Saya di Rusia bersama dengan anak. Saya dan anak tidak pernah menjejakkan kaki ke Singapura pada Jun lalu untuk bercerai,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama Malaysiakini.

Untuk rekod, seseorang isteri tidak perlu hadir ke mahkamah syariah untuk mendengar lafaz cerai dijatuhkan kerana suami boleh melafazkan cerai di luar mahkamah sebelum ia direkodkan.

New Straits Times (NST) dalam laporan memetik sumber menyatakan, pasangan itu bercerai pada 22 Jun lalu, manakala pemfailan cerai adalah pada 1 Julai di Mahkamah Syariah Singapura.

NST turut dilaporkan sebagai berkata, salinan sijil perceraian kedua-dua pasangan yang tular itu adalah sah dengan perceraian “talak tiga buat kali pertama” atau talaq baayin.

Kisah rumah tangga pasangan diraja ini mencuri perhatian rakyat Malaysia, apabila Sultan Muhammad V dilaporkan bercerai dengan wanita berusia 26 tahun itu.

Namun, portal berpangkalan di Singapura, berita.mediacorp.sg yang memetik kenyataan Mahkamah Syariah Singapura pada 19 Julai berkata, mahkamah itu tidak mempunyai rekod perceraian difailkan Sultan Muhammad V dan Rihana.

‘Masih sayang kepada suami’

Rihana turut mengutuk langkah pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan sijil perceraian membabitkan dirinya dan Sultan Muhammad V. Baginya, ia adalah tindakan provokasi.

“Ia adalah tindakan provokasi. Kami tidak pernah bercerai,” katanya.

Istana Kelantan masih tidak memberi kata putus berkaitan status pasangan ini, sebaliknya mengeluarkan penegasan, tidak ada pihak boleh digelar permaisuri Kelantan, raja perempuan Kelantan, sultanah Kelantan atau Queen of Kelantan tanpa pengumuman rasmi.

Malaysiakini juga sudah beberapa kali menghubungi pihak istana bagi mendapatkan pengesahan berhubung isu ini tetapi gagal mendapatkan sebarang jawapan.

Rihana turut memberitahu, perasaan cinta pada suaminya masih tebal bahkan percaya Sultan Muhammad V akan memberi sepenuh kasih sayang pada zuriat mereka.

“Saya sayangkan suami saya. Saya percaya dia akan mengambil berat mengenai anak kami,” katanya.

Pada 17 Julai, Rihana dalam temu bual yang dimuat naik dalam Instagramnya, menceritakan keperibadian Sultan Muhammad V.

Dalam rakaman video, yang disulami alunan muzik romantik dan diselitkan aksi manja Rihana bersama Sultan Muhammad V, turut memuji sikap baginda yang begitu mengambil berat terhadap dirinya dan keluarga.

Bukan itu sahaja, Sultan Muhammad V turut menyatakan, perkara yang menjadi keutamaannya adalah anak mereka.

“Saya mahu menjadi wanita terakhir dalam hidup baginda,” katanya. – MalaysiaGazette