Gambar hiasan

SEMENJAK berkurun lamanya, anak muda telah terperangkap di dalam satu kepompong yang menyebabkan mereka tidak cakna perihal idealisme dan wacana intelektual. Semalam telah tercipta sejarah negara apabila seramai 211 Ahli Parlimen daripada pelbagai blok politik bersetuju dengan Rang Undang-Undang (RUU) untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had umur mengundi daripada 21 ke 18 tahun.

Sejak merdeka lagi, negara ini belum pernah menyaksikan lagi satu transisi bersejarah yang mampu memberi kesan kepada pola politik nasional pada masa hadapan . Pemberian kepercayaan yang besar kepada anak muda untuk menyertai proses demokrasi secara terus melalui pilihan raya harus diurus dengan bijak dan cermat. 

Nuansa daripada pihak kritis kedengaran dengan kebimbangan mereka terhadap kesedaran politik anak muda yang begitu meruncing. Kebimbangan ini merupakan satu kerisauan yang mempunyai rasional  disebaliknya dan perlu diperhalusi dengan penuh hemat. 

Saya melihat bahawa perlu kepada gerakan akar umbi yang membawa suara advokasi dan kesedaran kepada anak muda seawal 16 tahun. Pendedahan awal kepada peri penting partisipasi langsung mereka dalam sistem demokrasi negara harus digalas oleh pelbagai pihak terutamanya gerakan mahasiswa. 

Seiring dengan perkembangan semasa daripada gerakan Mahasiswa yang dahagakan kebebasan akademik dan intelektual, mereka menuntut kepada sebuah Kesatuan yang memayungi seluruh Mahasiswa dari Semenanjung sehingga ke negeri Borneo. Era selepas AUKU dan pindaan perlembagaan bagi had umur pemilih di pilihan raya, gerakan Mahasiswa harus proaktif dalam mengambil peluang terbuka ini bagi menghidupkan kembali kegemilangan aktivisme pelajar pada zaman 60-an dahulu.

Mahasiswa ialah kelompok terdekat kepada masyarakat awam sekitar universiti. Justeru, saya menyeru Mahasiswa Pakatan Harapan khususnya agar dapat mencetuskan gelombang kesedaran melalui pendidikan politik dan demokrasi menerusi saluran akar umbi di cawangan kampus seluruh negara. 

Mahasiswa Pakatan Harapan harus mengisi kelopongan tersebut dalam menjuarai perbincangan ini di peringkat nasional dan juga akar umbi. 

Sungguhpun begitu, usaha advokasi dan kesedaran kepada anak muda merentasi benua politik dan kefahaman. Tidak kira latar belakang, gerakan Mahasiswa seluruhnya harus bersatu suara dalam usaha pemerkasaan dan pemantapan kesedaran politik di peringkat awal. 

Seramai 7.8 juta pengundi muda baru akan mencorak hala tuju negara menjelang Pilihan Raya Umum 2023. Pendaftaran secara automatik juga merupakan perkembangan yang sangat positif bagi menggalakkan lebih ramai menyertai pesta demokrasi setiap 5 tahun. 

Sudah tiba masanya anak muda bergerak dalam satu arus demi kepentingan bersama dan demi kelangsungan lanskap politik yang progresif. Medan ini harus dipelopori dan dipimpin oleh generasi baharu dalam menentukan aliran politik semasa. 

Syabas buat semua yang telah berhempas pulas dalam membawa suara muda sehingga mampu menggembleng tenaga yang menglangkaui fahaman politik dan cerminan pandangan yang berbeza. 

Oleh,
Irfan Mahzan.Timbalan Ketua Penerangan AMK Wilayah Persekutuan dan Ahli Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM)