Gambar yang dikongsi di laman Facebook 'Komuniti Taman Scientex' yang disyaki berlaku di kawasan Taman Scientex Pasir Gudang.

JOHOR BAHRU – Polis Johor sedang mengesan individu yang memandu sebuah kereta dengan dua kanak-kanak meniarap di cermin belakang dan bonet kenderaan itu, seperti yang tular dalam laman sosial.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Ismail Dollah berkata ketika kejadian, individu berkenaan yang memandu kereta Toyota Vios dengan nombor pendaftaran JLE 882 turut didapati melanggar lampu isyarat merah.

“Pada 12.43 malam tadi, polis menerima aduan daripada seorang individu berhubung penularan rakaman video dan gambar yang dikongsi di laman Facebook ‘Komuniti Taman Scientex’ yang disyaki berlaku di kawasan Taman Scientex Pasir Gudang.

“Perbuatan yang dilakukan dalam video berkenaan (meniarap pada cermin belakang dan but kereta) boleh membahayakan keselamatan diri dan orang lain,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ismail berkata berikutan insiden itu, pihak polis sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti pemilik, pemandu dan juga kanak-kanak yang terlibat, dan menurutnya siasatan dijalankan mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan kerana perlakuan atau perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan diri, orang lain.

Sehubungan itu, pihak polis memohon kerjasama orang ramai yang melihat kejadian dan mempunyai sebarang maklumat berkaitan insiden itu agar menghubungi balai polis berhampiran atau Balai Polis Seri Alam dengan menelefon 07-3864222 untuk membantu siasatan.

— BERNAMA