Kevin Ramalingam bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Kedua Perlawanan Akhir Shopee Piala FA Malaysia 2019 di Bilik Sidang Media, Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 22 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menggantikan Pulau Pinang ke Liga Super musim depan selepas skuad Harimau Kumbang itu dikenakan penolakan enam mata oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Ketua Pegawai Eksekutif, Liga Bole Sepak Malaysia (MFL), Kevin Ramalingam berkata, keputusan itu kekal sehingga tempoh yang belum ditentukan kerana pihaknya dimaklumkan Pulau Pinang akan membuat rayuan kepada FIFA.

Jelas beliau, pihaknya berharap keputusan rayuan itu akan diketahui secepat mungkin bagi membolehkan kedua-dua pasukan membuat persiapan musim depan.

“Saya ada dengar Pulau Pinang mahu buat rayuan dan saya ucap selamat maju serta kami bersedia dengan apa jua keputusan.

“Arahan yang dikenakan FIFA ini adalah serta-merta dan jika tidak dilaksanakan, tindakan boleh dikenakan kepada persatuan bola sepak negara.

“Jadi kita terima hukuman itu dan laksanakan. Oleh itu PDRM akan menggantikan Pulau Pinang ke Liga Super 2020 buat setakat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media final Shopee Piala FA 2019 di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini hari ini.

Kevin diminta mengulas pengesahan PDRM yang menggantikan Pulau Pinang yang sepatutnya layak ke Liga Super 2020 apabila menamatkan kempen Liga Perdana di tangga ketiga.

Bagaimanapun mereka dikenakan penolakan enam mata oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) susulan isu tunggakan gaji membabitkan bekas import, Reinaldo Lobo yang menyertai Harimau Kumbang dari 2015 hingga 2017.

Penolakan mata itu gara-gara melakukan kesilapan dalam menyemak kadar tukaran mata wang asing Pulau Pinang terpaksa membayar harga dengan mahal apabila harapan mereka untuk beraksi di kancah Liga Super musim depan berkecai. – MalaysiaGazette