Wan Ji Wan Hussin
Wan Ji Wan Hussin

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Durian Tunggal, Mohd Sofi Abdul Wahab didakwa sengaja menimbulkan provokatif apabila membenarkan pendakwah kontroversi, Wan Ji Wan Husin menyampaikan kuliah di Masjid Rahman Parit Melana, Alor Gajah, kelmarin meskipun mendapat tentangan pelbagai pihak.

Timbalan Pesuruhjaya Pas Melaka, Wan Zahidi Wan Ismail berkata, Mohd Sofi tidak akomodatif kerana enggan bertolak ansur terhadap permintaan jemaah di masjid berkenaan yang meminta agar pendakwah itu tidak menyampaikan ceramah.

Beliau berkata, Sofi selaku wakil rakyat sepatutnya lebih peka dengan sensitiviti masyarakat yang menyatakan ketidaksetujuan ceramah itu diadakan.

“Sofi yang juga Timbalan Pengerusi MAIM bukan sahaja tidak mahu berunding secara baik, malah dengan bahasa provokatif telah mengarahkan pihak polis mengambil tindakan terhadap bantahan tersebut.

“Lebih dikesali mereka, kerajaan negeri juga bersikap ‘double standard’ terhadap ceramah Syamsul Debat di Masjid Tanah dan Alor Gajah hingga berlaku pemecatan Pengerusi MPKK di DUN Gadek,” katanya melalui sidang video secara langsung di Facebook.

Menurut Wan Zahidi, Pas Melaka tidak setuju dengan sikap Mohd Sofi, selain mengambil kira latar belakang penceramah itu yang sebelum ini telah dijatuhi hukuman di bawah Akta Hasutan berkait penghinaan kepada Sultan dan Raja-raja Melayu serta Rasulullah S.A.W.

Oleh itu, katanya, sikap Wan Ji yang telah menimbulkan kebencian dan prejudis tidak sesuai untuk diberi ruang dan tempat bagi berceramah atau menyampaikan kuliah agama di dalam masjid.

Beliau turut mempersoalkan surat kebenaran ceramah yang hanya dikeluarkan pada 19 Julai lalu oleh Timbalan Mufti di mana syarat menetapkan sebulan permohonan dan kelulusan oleh Mufti.

Zahidi turut membangkitkan pertanyaan lain yang melihat tindakan Sofi sebagai campur tangan politik atau peranan tangan ghaib hingga penceramah kontroversi itu boleh masuk berceramah. – MalaysiaGazette