KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi pada hari ini yang merupakan tempoh pertengahan dagangan minggu ini dan sejajar dengan prestasi dicatatkan oleh ekuiti serantau dan pekembangan positif rundingan dagangan Amerika Syarikat (AS)-China.
Faktor lain yang turut menyumbang kepada perkembangan itu adalah pengumuman mengenai persetujuan Rumah Putih dan Kongres AS membabitkan Belanjawan Persekutuan, paras hutang dan pendapatan korporat yang lebih baik.
Pada 9 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 1.71 mata kepada 1,657.38 selepas ditutup pada paras 1655.67 pada Selasa.
Sewaktu dibuka, indeks itu susut 1.79 mata kepada 1,653.88.
Kaunter untung mengatasi rugi iaitu 145 berbanding 48 manakala 161 kaunter tidak berubah, 1,566 tidak diniagakan dan 16 lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 95.60 juta unit bernilai RM39.35 juta.
Sementara itu, Public Investment Bank Bhd berkata, prestasi indeks penanda aras yang lebih tinggi itu sememangnya dijangka oleh firma penyelidikan berkenaan.
“Semalam misalnya menyaksikan pendapatan komponen Purata Industri Dow Jones, Coca-Cola dan United Technologies yang lebih tinggi daripada jangkaan dan terbukti membantu peningkatan saham-saham,” katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.
Selain itu, katanya, saham-saham turut didorong susulan berita bahawa pemimpin Kongres mencapai persetujuan dengan Rumah Putih yang akan menaikkan paras hutang kerajaan Persekutuan.
Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd pula berkata, biar pun rundingan semula AS-China yang dijadualkan sebelum 1 Ogos ini, ia masih mengekang sentimen positif kerana belum dapat memberi sebarang petunjuk jelas sama ada krisis itu dapat diselesaikan dalam masa terdekat.
Di peringkat tempatan, saham wajaran tinggi yang mencatat untung ketara adalah Genting yang naik 11 sen kepada RM3.56, IOI untung empat sen kepada RM4.25, KLK menokok 20 sen kepada RM23.88 dan Axiata menambah dua sen kepada RM5.15.
Indeks FBM Emas naik 14.48 mata kepada 11,790.13 dan Indeks FBMT 100 meningkat 12.88 mata kepada 11,612.01.
Indeks FBM Emas Shariah pula menambah 16.07 mata kepada 12,183.36, FBM 70 meningkat 20.09 mata kepada 14,913.36 dan FBM Ace meningkat 24.93 mata kepada 4,775.10.
Mengikut sektor, Indeks Perladangan naik 7.08 mata kepada 6,816.53 namun Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 6.41 mata kepada 16,498.11 dan indeks Produk dan Perkhidmatan Industri turun 0.06 mata kepada 155.74. – MalaysiaGazette