Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.
Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Graduan perubatan yang layak berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (MPM) perlu mengemukakan ijazah asal perubatan daripada Universiti atau Kolej Perubatan yang diiktiraf MPM.

Setelah mengemukakan dokumen yang diperlukan, MPM akan mengeluarkan Surat Layak Daftar kepada pemohon bagi
kegunaan permohonan lantikan sebagai Pegawai Perubatan Siswazah dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

Bagi memudahkan lantikan graduan perubatan sebagai Pegawai Perubatan Siswazah, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan MPM telah memutuskan bahawa pemberian Surat Layak Daftar juga kini dipanjangkan kepada graduan perubatan yang mengemukakan transkrip akhir universiti (keputusan peperiksaan akhir) yang ditandatangani oleh Presiden, Senat, Rektor atau Pendaftar Universiti sebagai alternatif.

Ketua Pengarah KKM, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kriteria ini sejajar dengan Akta Perubatan 1971.

Sekiranya telah memenuhi kriteria tersebut, Surat Layak Daftar dengan nombor siri akan diberikan oleh pihak MPM kepada graduan perubatan tersebut, dan digunakan untuk pendaftaran/permohonan secara atas talian melalui SPA8i dengan pihak SPA.

“Dimaklumkan juga bahawa surat Dekan yang dikeluarkan oleh Fakulti Perubatan adalah tidak diterima. Tiada perubahan dalam proses untuk permohonan bagi pelantikan sebagai Pegawai Perubatan Siswazah.

“Bagi calon-calon yang telah ditawarkan lantikan tetapi tidak mempunyai dokumen yang disebutkan sebelum ini, dinasihatkan supaya mendapatkannya dari pihak universiti atau kolej perubatan dengan kadar segera, dan dikemukakan kepada pihak MPM.

“Graduan perubatan berkaitan tidak perlu khuatir kerana tawaran pelantikan sebagai Pegawai Perubatan Siswazah kepada pemohon adalah tidak terbatal dan lantikan akan terus dibuat pada kumpulan pengambilan yang akan datang setiap dua bulan,” katanya.

Beliau menjawab isu beberapa graduan perubatan yang tidak berjaya mendapat Surat Layak Daftar dari Majlis
Perubatan Malaysia (MPM) untuk kegunaan permohonan lantikan sebagai Pegawai Perubatan Siswazah. – MalaysiaGazette