Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof (tengah) diiringi Setiausaha Bahagian, Bahagian Istiadat, Razainor Ramli (kanan) dan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Hasnol Zam Zam Ahmad (kiri) menunjukkan poster istiadat pertabalan pada sidang media mengenai Istiadat Pertabalan DYMM Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong di Kompleks Islam Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 24 JULAI 2019

PUTRAJAYA- Kira-kira 80 peratus persiapan bagi acara-acara yang bakal diadakan sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah 31 Julai ini telah siap.

Menurut Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof, acara akan dimulakan esok dengan majlis bacaan Yasin, doa selamat dan solat hajat ini di Masjid Negara, Istiadat Pertabalan pada 30 Julai di Balairung Seri Istana Negara dan diikuti Majlis Santapan Diraja keesokan harinya di Dewan Santapan Utama Istana Negara.

Kira-kira 700 tetamu akan menghadiri Majlis Santapan Diraja itu.

Pada hari Jumaat pula, semua masjid akan membaca khutbah khas sempena istiadat pertabalan, katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Istiadat Pertabalan itu berkata, tiga lagi acara lain ialah Lawatan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke Hospital Rehabilitasi Cheras (1 Ogos), Pameran Raja Kita di Muzium Diraja di sini (5 Ogos hingga 5 November) serta Khutbah Khas dan solat Jumaat di Masjid Putra, Putrajaya pada 2 Ogos.

“Rakyat dijemput untuk hadir sama dalam majlis bacaan Yasin, doa selamat dan solat hajat di Masjid Negara,” katanya dalam satu sidang media khas di sini hari ini.

Menurut Mujahid, tiga tetamu luar negara yang telah mengesahkan kehadiran masing-masing adalah Sultan Brunei, Sultan Hasanal Bolkiah, Putera Mahkota Abu Dhabi, Putera Mohammed bin Zayed dan Putera Mahkota Jordan, Putera Hussein bin Abdullah.

Tambahnya, jawatankuasa masih lagi menerima pengesahan jemputan setakat ini.

Istiadat Pertabalan yang menjadi acara utama, akan disiarkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan rakyat boleh memanfaatkan hari kelepasan am pada hari itu untuk menyaksikan istiadat bersejarah itu.- MalaysiaGazette