Logo IMF

SANTIAGO- Perdagangan global hanya berkembang 0.5 peratus pada suku pertama 2019, menjadikannya pertumbuhan paling perlahan sejak 2012.

Dalam masa yang sama lebih banyak petunjuk signifikan penurunan pertumbuhan ekonomi yang semakin ketara.

Dengan itu, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), menurunkan unjuran pertumbuhan global pada tahun ini dan tahun depan.

Ia juga memberi amaran lebih banyak isu mengenai tarif di antara China dan Amerika Syarikat, tarif auto atau Brexit akan memperlahankan lagi pertumbuhan ekonomi, melemahkan pelaburan dan mengganggu rantaian bekalan.

Ketua Pakar Ekonomi IMF, Gita Gopinath berkata, pemberi pinjaman global itu tidak melihat sebarang tanda kemelesetan ekonomi tetapi “risiko pertumbuhan lebih perlahan dapat dilihat dengan ketara”, termasuk peningkatan perang perdagangan.

Dalam pada itu Timbalan Pengarah Jabatan Penyelidikan IMF, Gian Maria Milesi-Ferreti memberitahu Reuters, kemerosotan perdagangan disebabkan beberapa faktor antaranya perang perdagangan China-AS, kelemahan pelaburan dan sektor automotif dan teknologi yang semakin lemah.

“Hujung 2018 agak lemah.

“Kita ada beberapa gabungan faktor di sini, sebahagiannya bersifat sementara dan ada juga yang mungkin merupakan petunjuk kepada kemerosotan ekonomi yang lebih signifikan,” katanya.

Tambahnya, perdagangan didorong terutamanya oleh pelaburan barangan, bagaimanapun aktiviti pelaburan telah mula lemah di Amerika Latin, Eropah dan China, yang mana berhadapan dengan penurunan mendadak dalam permintaan domestik.

“Apabila pelaburan perlahan di China, ia ditunjukkan di skrin radar global,” tambahnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast