Zidane nafi tidak hormat pemainnya Gareth Bale seperti yang dilaporkan media di Eropah

SEPANYOL- Zinedine Zidane menafikan dakwaan konon beliau biadab terhadap pemainnya, Gareth Bale di Real Madrid.

Pengurus Galacticos itu menyangkal laporan media di Eropah mengenai hubungan renggang antara kedua-dua ikon bolasepak berkenaan sejak dua tahun lalu.

Sebaliknya, Zidane mendakwa Bale sebenarnya enggan turun padang beraksi sebagai pengganti dalam perlawanan jelajah pramusim menentang Bayern Munich Ahad lalu.

Dakwanya, Bale memberi alasan dia tidak boleh beraksi sebab kelab sedang berurusan mempercepatkan proses menjualnya.

Zidane menjelaskan, Bale akan meninggalkan Santiago Bernabeu dan ia adalah langkah terbaik untuk semua dalam kelab.

Komen yang dianggap kurang ajar itu mencetuskan kurang selesa terhadap penyokong Bale, selain ejen pemain itu Jonathan Barnett mengutuk kebiadaban Zidane.

“Saya tidak pernah menunjukkan sikap kurang sopan kepada mana-mana orang dan itu bukan penampilan saya.

“Apa yang saya katakan pada saat itu adalah kelab sedang berurusan untuk menjual Bale.

“Bagi saya pemain adalah keutamaan dan saya sentiasa mendukung mereka dalam apa jua keadaan sekali pun,” katanya.

Tambah Zidane, keengganan Bale untuk beraksi menentang Bayern mempunyai sebab munasabah.

“Pemain itu sendiri memberitahu saya di atas padang bahawa dia tidak mahu beraksi kerana kelab sedang mengusahakan urusan meninggalkan Real Madrid untuknya.

Bale menyertai La Liga pada musim 2013 dengan yuran rekod dunia 85 juta pound.

Bale dikaitkan dengan beberapa kelab termasuk Manchester United dan bekas kelabnya Tottenham Hotspurs di England.

Manakala Kelab Liga Super China pula menyatakan kesediaan menyelamatkan karier bola sepak Bale dengan gaji mingguan tertinggi di dunia iaitu sejuta pound.- MalaysiaGazette