Dr. Xavier Jayakumar

KUALA LUMPUR- Malaysia sudah mempunyai akta yang cukup tegas untuk menangani pencemaran sistem bekalan air dan tidak perlu dilakukan sebarang pindaan lagi.

Menurut Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. Xavier Jayakumar, pesalah yang didapati bersalah mencemarkan sungai dengan sengaja atau menyebabkan kemudaratan kepada pengguna boleh dijatuhkan hukuman mati.

Ini termaktub dalam Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

“Kita mempunyai akta yang cukup ketat sehingga kita boleh mengenakan hukuman mati kepada mereka yang mencemarkan air dengan sengaja atau kemungkinan besar mendatangkan kemudaratan (kepada pengguna).

“Kita boleh menggunakan akta itu dan tidak perlukan lagi sebarang pindaan atau penambahbaikan undang-undang,” katanya ketika ditanya sama ada kementeriannya berhasrat untuk meminda undang-undang sedia ada bagi mengekang aktitivi pencemaran air sehingga menjejaskan bekalan kepada pengguna.

Seksyen 121 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 memperuntukkan mereka yang didapati bersalah mencemarkan sistem bekalan air sehingga menyebabkan kematian manusia boleh dikenakan hukuman mati atau penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Baru-baru ini, Xavier mengesahkan insiden pencemaran Sungai Selangor sehingga menjejaskan bekalan air terawat kepada pengguna di negeri itu dipercayai akibat perbuatan khianat.

Perkara tersebut sedang disiasat polis.-MalaysiaGazette