Pesawat pejuang TUDM akan melakukan latihan tembakan peluru berpandu di udara dari 23 Julai hingga 10 Ogos ini di Kota Belud Sabah dan ruang udara sekitar Sabah.Foto:TUDM

KUALA LUMPUR – Penduduk Sabah dinasihatkan supaya tidak terkejut atau cemas jika melihat atau terdengar bunyi dentuman pesawat pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terbang rendah.

Ini kerana TUDM sedang melaksanakan latihan tembakan peluru berpandu darat ke udara dan tembakan udara ke darat di Lapang Sasar Udara Kota Belud, Sabah.

Menurut kenyataan Bahagian Perhubungan Awam TUDM, latihan tersebut berlangsung selama 19 hari iaitu pada 23 Julai lalu hingga 10 Ogos ini.

“Latihan tembakan peluru berpandu di udara dan ke bumi akan melibatkan ruang udara Sabah dan perairan di sekitarnya.

“Pesawat pejuang Sukhoi 30MKM dan F/A-18D Hornet, Pesawat B200T dari No 16 Skn akan melaksanakan range clearance (pengosongan jarak).

“Sementara pesawat A400M dan C130H pula berfungsi sebagai ‘transup’ dan air to air refuelling akan menggunakan pesawat A400M sepenuhnya,” kata kenyataan itu.

latihan tudm1
Jangan terkejut atau cemas jika terdengar bunyi letupan di udara atau pesawat pejuang TUDM terbang rendah kerana terlibat dengan latihan tembakan peluru berpandu di udara sehingga 10 Ogos ini.Foto TUDM

Tambah TUDM, latihan kali ini turut melibatkan kapal laut Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) yang membantu melaksanakan surface clearance (memastikan kawasan tembakan selamat untuk beroperasi).

Katanya, latihan yang dilaksanakan itu bertujuan menguji kecekapan dan keupayaan juruterbang pesawat pejuang TUDM dalam mengendalikan pesawat dan melancarkan pelbagai persenjataan tepat ke sasaran.

“Selain itu, ia juga bagi memastikan kesiagaan aset-aset dan persenjataan TUDM sentiasa berada pada tahap terbaik khususnya di dalam melindungi kedaulatan ruang udara negara,” kata kenyataan itu – MalaysiaGazette