Tabung haji
Orang ramai diminta tidak menyerahkan sebarang deposit kepada mana-mana pihak selagi tidak mendapat surat tawaran.

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) mencatat prestasi
dan kedudukan kewangan yang semakin baik bagi separuh pertama tahun 2019.

Ia dipacu oleh strategi pelaburan yang mampan serta langkah pengurusan kos yang berhemah.

Bagi tempoh enam bulan pertama tahun 2019, TH telah berjaya memperoleh pendapatan berjumlah RM1.3 bilion dijana terutamanya daripada pelaburan aset pendapatan tetap (RM663 juta), pelaburan hartanah (RM292 juta) dan instrumen pasaran wang Islam (RM199 juta).

“Keuntungan bersih juga telah meningkat kepada RM815 juta hasil langkah berterusan penjimatan kos pengurusan dan pentadbiran,” kata satu kenyataan hari ini.

Pendapatan TH dijangka terus meningkat apabila TH akan menerima manfaat penuh daripada Sukuk Urusharta Jamaah Sdn Bhd yang telah diterbitkan pada 30 Mei 2019 yang lalu.

Perubahan strategi pelaburan TH kepada aset pelaburan yang lebih stabil telah berjaya mengurangkan tekanan daripada keadaan pasaran kewangan yang tidak menentu akibat ketegangan perang dagang di peringkat global.

Pada 30 Jun 2019, kedudukan kewangan TH kekal kukuh apabila jumlah aset telah melebihi jumlah liabiliti sebanyak RM1.8 bilion dengan jumlah aset RM74.0 bilion manakala jumlah liabiliti RM72.2 bilion.

“Kepercayaan dan sokongan para pendeposit kepada TH kekal utuh dengan jumlah deposit yang kekal tinggi pada paras RM71.0 bilion setakat 30 Jun 2019.

“Seperti tahun-tahun sebelum ini, TH telah menjangkakan peningkatan pengeluaran dalam separuh pertama tahun 2019 selepas pengumuman hibah dibuat serta apabila bermulanya musim haji,” kata kenyataan yang sama.- MalaysiaGazette