KUALA LUMPUR – Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berharap ahli-ahlinya dapat menambah ilmu melalui seminar yang berkaitan.
Datuk Dr. Noraini Ahmad berkata, negara ini akan menjadi Seminar Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara Komanwel (CAPAC) pada 1 Ogos ini dan mereka wajar merebutnya.
“Rakyat kini menuntut PAC Parlimen Malaysia memainkan peranan lebih aktif dan berkesan terutama sekali dalam menjalankan siasatannya melalui prosiding dengan telus serta berakauntabiliti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sepanjang seminar, katanya, semua peserta akan didedahkan amalan terbaik untuk PAC Parlimen Malaysia menjalankan tugasnya dengan lebih berkesan terutama sekali dalam mengesan berlaku unsur penyelewengan dalam kewangan kerajaan.
“Ini adalah medan terbaik bagi ahli-ahli PAC Parlimen Malaysia bertukar pandangan dan pendapat dengan rakan-rakan mereka dalam memantapkan lagi struktur urus tadbir jawatankuasa ini terutama sekali memastikan PAC memainkan fungsi semak dan imbang terhadap kerajaan,” katanya.
Seminar itu adalah anjuran Persatuan Komanwel United Kingdom (CPA-UK) dan ini adalah kali pertama PAC Parlimen Malaysia dipilih menjadi tuan rumah bagi CAPAC yang membabitkan negara-negara Komanwel dari rantau Asia dan Asia Tenggara.
Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof akan
merasmikan seminar yang diadakan di Parlimen Malaysia dan dijangka turut dihadiri Meg Hiller, Pengerusi PAC Parlimen United Kingdom.- MalaysiaGazette