KUALA LUMPUR – Seorang wanita warga asing dipercayai pelacur maut apabila tergelincir dari tingkat lima sebuah hotel di Jalan Pasar Baharu, Pudu di sini, tengah malam tadi.

Penolong Pengarah D7 Bukit Aman, ACP Mohd Hedzir Hussin berkata, wanita dipercayai berasal dari China itu terjatuh ketika cuba melarikan diri daripada ditahan pihak berkuasa melalui belebas luar hotel berkenaan kira-kira 12.15 tengah malam.

“Identiti mangsa belum dapat dikenal pasti. Mangsa maut di tempat kejadian. Tiga lagi pelacur cuba bersembunyi di kawasan belebas yang sama dan enggan memberi kerjasama,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian sebaik Op Noda bermula 10.50 malam tadi tamat empat jam kemudian.

Beliau berkata, pihaknya terpaksa melepaskan tiga wanita terbabit dalam operasi kali ini bagi mengelak kejadian tidak diingini, namun operasi susulan akan dilakukan untuk membendung kegiatan pelacuran di kawasan berkenaan.

Mohd Hedzir berkata, operasi itu turut dibantu sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hang Tuah.

Dalam operasi berkenaan, 30 wanita warga asing berusia lingkungan 19 hingga 51 tahun ditahan kerana menjalankan aktiviti pelacuran di dalam bangunan tersebut.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada 24 warga Vietnam dan enam dari China. Selain itu, 93 pelanggan termasuk 16 warga asing dari Myanmar, China, India, Vietnam dan Bangladesh berusia 18 hingga 81 tahun turut ditahan ketika sedang menunggu giliran untuk mendapatkan khidmat seks dengan harga bermula RM80 hingga RM120.

“Lapan pekerja termasuk dua lelaki warga China dan seorang warga Myanmar berusia 17 hingga 55 tahun juga ditahan dalam operasi itu,” katanya. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast