Makam atau pusara Wan Hassan ini terletak di Kampung Pulong, Kubang Kerian.-pix FB

KOTA BHARU – Dua makam yang berusia lebih 180 tahun dipercayai milik kerabat Dato’ Lundang Kelantan dan panglimanya yang terletak di tanah persendirian di Kampung Pulong, Kubang Kerian digali hari ini untuk dipindahkan ke Tanah Perkuburan Kerabat Dato’ Lundang di Langgar di sini.

Makam milik Wan Hassan Wan Ahmad iaitu anak kepada Perdana Menteri Pattani, Wan Ahmad yang juga dikenali dengan gelaran Dato’ Lela Seri Paduka Raja di zaman pemerintahan Tengku Sulong dan seorang panglimanya yang belum dikenal pasti dikebumikan di situ selepas terbunuh ketika bertempur dengan tentera Siam pada 1832.

Setiausaha Pertubuhan Kerabat Dato Lundang Kelantan, Long Muhammad Wan Muhammad Noor, 32, berkata proses pemindahan makam bersejarah itu sudah lama dicadangkan dan baharu sekarang terlaksana.

Beliau berkata pihaknya mengambil komitmen untuk memindahkan makam tersebut ke tempat yang sepatutnya sebagai penghormatan kepada dua pahlawan berkenaan.

“Tanah tempat bersemadinya dua makam ini adalah tanah persendirian dan sebaiknya ia dikebumikan semula di tempat yang sepatutnya.

“Alhamdulillah, hari ini dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) proses pemindahan berjaya dilaksanakan dengan lancar,” katanya ketika ditemui di Kampung Pulong di sini, hari ini.

Terdahulu, dua makam itu digali semula dengan menggunakan jengkaut dengan dibantu penduduk kampung dan dipantau oleh Pegawai Hal Ehwal Imarah Masjid MAIK, Roslee Ismail.

Long Muhammad berkata proses menggali semula kedua-dua makam itu bermula pada pukul 10 pagi tadi dan berakhir dua jam kemudian.

Beliau berkata tanah yang digali itu dimuatkan ke dalam beberapa bungkusan dan akan dikebumikan semula.

Sementara itu, pemilik tanah berkenaan, Roslan Afendi Nazi, 54, berkata beliau mengetahui mengenai kewujudan dua makam tersebut sejak 1970an lagi.

Katanya beliau hanya mengetahui proses pemindahan kedua-dua makam itu akan dilakukan selepas dihubungi pihak MAIK dan pertubuhan itu.

“Saya sebenarnya tidak kisah dengan adanya dua makam bersejarah itu di sini kerana tanah berkenaan adalah milik keluarga.

“Namun selepas ini kemungkinan saya akan membina rumah di tanah berkeluasan 0.4 hektar ini dalam tempoh satu atau dua tahun ini,” katanya.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast