KUALA LUMPUR – Nampaknya krisis dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) semakin hari semakin parah apatah lagi kenyataan daripada pimpinan utama saling tuduh menuduh walaupun sebelum ini sudah ada amaran dikeluarkan oleh Lembaga Disiplin parti tersebut.

Malah beberapa hari lepas, Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dan Pengerusi Selangor yang juga Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari kerana mengeluarkan kenyataan terbuka berhubung video seks kontroversi baru-baru ini.

Tetapi apa yang lebih mengejutkan apabila Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin pula tampil menyoal sokongan terhadap presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang padanya lebih kepada intimidasi dan dasar terpaksa.

Zuraida yang juga selama ini lantang mempersoalkan ketidakstabilan kedudukan Anwar sebagai presiden parti malah yang menandatangani perakuan sokongan itu bukan sebenarnya ‘mendukung’ sokongan tersebut.

“Soalnya untuk apa tandatangan ini dikumpul? Bukankah presiden parti tidak dicabar dalam pemilihan lalu? Sebagai anggota parti, tentulah pemilihan parti yang lalu jelas keputusannya.Maka apa justifikasi yang memerlukan tandatangan menyokong presiden ini?

“Ia hanya menimbulkan persoalan yang mencerminkan ketidakstabilan kedudukan presiden. Ingin saya ingatkan bahawa pihak yang menandatangani perakuan sokongan tersebut bukanlah sebenar-benarnya mendokong tetapi mungkin didorong rasa terintimidasi dan dilakukan atas dasar terpaksa.

“Sebagai presiden parti, arahan bagi menghentikan perkara ini perlu dilakukan segera. Ia hanya mengiyakan persepsi bahawa wujudnya fraksi dalam parti dan menambah perpecahan,” tegasnya.

Jelas Zuraida lagi, ini merupakan satu ‘gerakan tersusun’ oleh pihak tertentu bagi mendapatkan pimpinan cabang menyatakan sokongan terhadap Anwar.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu juga memberi kata putus supaya Anwar menghentikan ‘gerakan’ menyatakan sokongan terhadapnya seperti itu sebaliknya menumpukan perhatian Malaysia Baharu.

“Cukuplah menghidangkan juadah politik partisan yang sudah muak dan mual dihadam oleh rakyat. Kita semua perlu menumpukan masa untuk menjalankan tugasan masing-masing.

“Janganlah lagi proses membina Malaysia baru ini diganggu dengan aksi politik sebegini yang dilihat sekadar mahu dilihat relevan dan sentiasa menghiasi dada akhbar. Cukup-cukuplah,” ujarnya. –MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast