Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Berita gembira buat peminat raja buah apabila karnival durian diadakan di Kelab Tasik Putrajaya di sini bermula semalam.

Dikenali Durian Fest 2019, karnival yang kali kedua diadakan itu berlangsung selama tiga hari sehingga esok.

Pengurus Kelab Tasik Putrajaya merangkap penganjur karnival, Azizan Baharom berkata, karnival itu menawarkan harga istimewa kepada orang ramai dengan harga RM15 selonggok melibatkan durian kampung dan D14.

“Pada masa sama, kami juga menawarkan kualiti durian pada gred tinggi iaitu Musang King

“Buah ini kami mendapat bekalan dengan anggaran sebanyak 40 tan dari Raub, Pahang sepanjang tiga hari ini,” katanya kepada MalaysiaGazette  hari ini.

Azizan memberitahu, lebih istimewa karnival itu turut memberi pilihan menu berasaskan durian iaitu pulut durian dan cendol durian.

Selain itu, kata Azizan turut dijual adalah cempedak goreng sebagai menu tambahan selain pilihan foodtruck dan persembahan pemuzik jalanan.

Sementara itu, Kelab Tasik Putrajaya kini menawarkan bilik mesyuarat dan dewan majlis untuk memberi kemudahan ahli dan orang ramai menganjurkan majlis hari jadi, perkahwinan, hari keluarga dan seminar.

Kelab tersebut terkenal dengan aktiviti sukan air serta telah menganjurkan pelbagai pertandingan peringkat antarabangsa.

Selain itu, ia juga menawarkan kursus asas latihan berenang dan juga selam skuba kepada ahli kelab.  – MalaysiaGazette